BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 2, 2010

Rumah tangga milik bersama


Walau sesibuk mana  pun anda, berikanlah perhatian sepenuhnya kepada rumah tangga. Hal ini penting agar nanti apabila timbul sebarang masalah, tidaklah anda panik.
Ingat! Jangan sesekali menuding jari menyalahkan orang lain. Namun, ini tidak bermakna yang anda salah. Apa yang boleh dilakukan ialah berbincang bersama-sama untuk  memulihkan keadaan. Terlalu ego “Saya yang banyak keluarkan duit untuk semua perbelanjaan di rumah ni, jadi saya lah yang berhak tentukan segalanya. Awak tak ada kuasa, lebih baik awak diam sahaja.” Perkara seperti ini memang sering terjadi dalam rumah tangga ramai suami isteri. Masing-masing ingin menunjukkan kuasa. Hal ini tidak pernah memberi faedah kepada sesiapa sahaja.
Bermula daripada perselisihan faham yang kecil, keegoan akhirnya boleh menyemarakkan api pertelingkahan menjadi semakin besar seterusnya meruntuhkan mahligai perkahwinan yang  telah dibina dengan susah payah. Oleh yang demikian, seboleh-bolehnya, elakkanlah diri daripada bersikap pentingkan diri sendiri.
Tahukah anda bahawa pasangan anda sebenarnya adalah rakan kongsi anda. Jadi, bersama-samalah bergabung tenaga agar mahligai yang dibina mekar sentiasa. Setelah mendirikan rumah tangga, jangan sesekali anda terlupa untuk mengungkapkan kata-kata manis dan mesra kepada pasangan. Jika masa bercinta dahulu, berkoyan-koyan kata-kata romantis anda hadiahkan pada si dia, tidak salah rasanya kalau sudah ada anak sedozen pun anda masih kekal membisikkan kata-kata romantis itu ke telinganya setiap masa. Kalau inilah yang anda laksanakan dan berjaya, cukup sepuluh tahun berkahwin, lengkaplah pasukan bola sepak anda berdua.
Sedangkan lidah lagi tergigit. Ini pula suami isteri. Bertengkar dan berselisih faham memang adat berumah tangga. Ada sahaja perkara yang dilakukan oleh pasangan yang boleh membuatkan anda marah. Ya, anda berhak untuk marah tapi pastikan marah anda itu berpada-pada. Jangan “over” pula. Lain yang jadinya nanti. Seeloknya, marahlah dengan cara yang profesional. Bukan dengan menjerit atau enyergah sesuka hati. Kalau marah, pilih masa dan tempat yang sesuai untuk diluahkan rasa tidak puas hati itu. Cara ini tidak akan merugikan anda malah menjadikan ikatan perkahwinan lebih erat.
Hubungan erat 
Bercerita tentang erat, perkahwinan ini bukan sahaja dilihat dari segi dalaman sahaja. Bahkan juga dilihat daripada eratnya genggaman tangan antara anda berdua. Kalau dulu ke mana sahaja nak pergi, tangan si dia mesti   digenggam, teruskanlah walaupun usia kini sudah beralih ke peringkat matang. Lagi erat genggaman tangan anda berdua lagi kuat rasa cinta yang akan menyelubungi kehidupan anda berdua. Masa berehat pula, urut-urutlah yang tersayang. Tambah mesra hubungan anda berdua. Masa itu, kalau hendak marah pun tentu tak jadi.

Agar rumah tangga anda sentiasa bahagia, janganlah ada rahsia antara anda berdua. Jika anda ada masalah, ceritakan pada pasangan. Begitu jugalah sebaliknya. Amalkanlah peribahasa lama ini, yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul. Barulah aman rumah tangga yang dibina. Ada orang tinggi, tidak kurang yang rendah. Ada orang cantik dan ada juga yang kurang menarik. Ada yang kaya dan tidak ketinggalan juga ada yang kurang berharta. Walau apa pun keadaannya, semua orang tahu. Manusia memang berbeza. Tidak ada yang sama. Begitu jugalah dengan anda dan pasangan. Belajarlah terima pasangan seadanya. Jangan terlalu meminta ataupun menginginkan sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh si dia. Hal ini hanya akan membina jurang antara anda berdua dan akhirnya jurang tersebut menjahanamkan hubungan anda berdua.
Satu lagi perkara yang sering menjadi punca keruntuhan banyak institusi kekeluargaan ialah faktor kewangan. Membiayai perbelanjaan rumah yang semakin hari semakin meningkat kadang kala  membebankan buat insan yang bergelar suami. Lantaran itu, si isteri turut turun padang untuk membantu. Namun, tidak semua isteri redha dengan apa yang telah mereka lakukan. Akibatnya, mereka rasakan diri seperti dipergunakan. Lebih-lebih lagi setelah penat bekerja, pagi di pejabat dan malam pula di rumah. 
Wahai para isteri, redhalah dengan setiap apa yang anda lakukan. Ingat, niat anda pada mulanya memang baik, bekerja untuk membantu suami. Jadi, apa salahnya jika diteruskan niat yang baik itu. Semua ini bukan untuk orang lain sebaliknya untuk keluarga sendiri. Anggaplah semua yang anda lakukan itu adalah sedekah. Itulah yang sebaik-baiknya.

Ketahuilah bahawa perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dibawa main. Malah, hanya orang yang “kuat” sahaja berjaya mengharungi onak dan durinya. Rumah tangga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang adalah impian semua orang. Agar impian anda terlaksana, berusahalah   sedaya-upaya untuk mencapai hasrat yang murni itu. Semoga anda semua berbahagia dengan keluarga tercinta.

Pautan : http://www.majalahpama.com.my

Ungkapan tabu dan eufemisme dalam beberapa aspek kehidupan masyarakat petani Iban di Sarawak : Satu Analisis Semantik.



1.0 Pengenalan
Masyarakat  Iban  merupakan  salah  sebuah  masyarakat  yang  mempunyai  bahasa  dan  budaya  yang  sangat  unik. Melalui  beberapa  kajian  menunjukkan  bahawa  bahasa  Iban  merupakan  antara  bahasa  sekerabat  yang  paling  dekat  dengan  Bahasa  Melayu. Bahasa  Iban  juga  kaya  dengan  kosa  kata  dan  terdapat  pelbagai  keunikan  yang  mampu  menarik  minat  pengkaji  bukan  sahaja  dalam  kalangan  pelajar  malah  pensyarah  juga. Buktinya, terdapat  pelbagai  jenis  kajian  telah  dilakukan terhadap  bahasa  ini  dan  beberapa  buah  buku  telah  dihasilkan. Namun  begitu, masih  terdapat  banyak  kekurangan  yang  tidak  dapat  dirungkai  oleh  pengkaji  tentang  bahasa  ini, terutamanya  berkaitan  dengan  ilmu  makna  iaitu  tentang  bahasa  pemali  atau  tabu  dan  juga  eufemisme  dalam  masyarakat  ini, terutamanya  golongan  petani  yang  mengusahakan  pertanian  sara  diri. Oleh  demikian  kajian  yang  dijalankan  berkaitan  dengan  bahasa  tabu  atau  pemali  dan  juga  eufemisme  dalam  masyarakat  petani  Iban  di  Sarawak. 
Kajian  ini  dijalankan  bertujuan  untuk  berkongsi   dengan  masyarakat  yang  lain  tentang  bahasa  pemali  dan  eufemisme  dalam  bahasa  Iban  terutamanya  tentang  aktiviti  pertanian. Ramai  masyarakat  tidak  tahu  tentang  bahasa  tabu  dan  eufemisme  di  dalam  bahasa  Iban  meskipun  ada  sesetengahnya  pandai  menuturkan  bahasa  Iban. Oleh  itu, dengan  kehadiran  kajian  yang  telah  dilakukan  ini  diharap  masyarakat  lain   dapat  menambahkan  maklumat  dan  pengetahuan  tentang  bahasa  dan  budaya  masyarakat  iban    di  Sarawak. Di  samping  dapat  memahami  serba  sedikit  tentang  kepercayaan  masyarakat  petani   Iban  di  Sarawak  yang  menjalankan  aktiviti  pertanian  sara  diri.
Bagi   mendapatkan  maklumat  tentang  bahasa  tabu  dan  eufemisme  ini  cara  talian  telah  digunakan  dalam  kajian  ini. Cara  talian  ialah  menggunakan  laman  web  untuk  menngumpulkan  maklumat  dan  data. Di   samping  itu  juga, sumber  maklumat  yang  dikumpul  diperolehi  daripada  kaedah  temu  ramah  dengan  orang tua-orang  tua  petani  Iban  yang  mengamalkan  sistem  pertanian  sara  diri, yang  tinggal  di  pedalaman  Sarikei, Sarawak. 

1.0     Isi  dan  Perbincangan
Dalam  masyarakat  Iban   di  Sarawak  terdapat  banyak  perkataan  tabu  di  dalam  kehidupan  termasuk  di  dalam  kerja  seharian. Meskipun  begitu, ada  sesetengah  masyarakat  Iban  tidak  memahaminya  meskipun  telah  mengamalkannya  dalam  kehidupan  seharian   hingga  ke  hari  ini. Walaupun  terdapat  banyak perubahan  yang  berlaku  seiring  dengan  permodenan  pada  masa  kini, namun  perkataan  tabu  ini  masih  diamalkan  sehingga  ke  hari  ini. Perkataan  tabu  ini  disebut  pemali  di  dalam  bahasa  Iban  di  Sarawak, dan  perkataan  yang  dianggap    eufemisme  dikenal  sebagai  Jaku  Kelaung  atau  Jaku  Sempama.
Tabu  bermaksud  perkataan  yang  tabu  berasal  dari  kata  taboo  yang  dipungut  dari bahasa  Tonga, salah  satu  bahasa  dari  rumpun  bahasa  Polinesia. Dalam  masyarakat  Tonga kata  taboo  merujuk  pada  tindakan  yang  dilarang  atau  yang  harus  dihindari. Bila tindakannya saja  dilarang, maka  bahasa/kata-kata  yang  merupakan  simbol  dari  tindakan  itu pun  dilarang. Tabu  ialah   kata-kata  yang  tidak  boleh  digunakan, setidak-tidaknya  tidak dipakai  di  tengah  masyarakat   yang  beradab  atau  yang  memiliki  sesuatu  kepercayaan  tertentu  yang  harus  diamalkan  atau  dipatuhi   bergantung  pada   pandangan  dan  nilai  yang  dianut masyarakat  bahasa  serta  tradisi  kebudayaan  setempat. (http://tiennymakrus.blog.friendster.com/)
Kata tabu seperti yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud “sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali atau yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan”. Apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan. (Kamus  Dewan, Edisi  Keempat, 2007 : 1563)
Eufemisme  pula  berasal  dari  istilah  euphemism; yang  berarti  kata  atau  frase  yang menggantikan  satu  kata  tabu, atau  yang  digunakan  sebagai  upaya  menghindari  hal-hal yang  menakutkan  dan  kurang  menyenangkan. Kata  eufemisme  juga  dianggap  pemakaian kata atau bentuk lain untuk menghindari larangan atau tabu. ( http://tiennymakrus.blog.friendster.com/ )
Masyarakat  petani  Iban  di  Sarawak  merupakan   masyarakat  yang  mengamalkna  pertanian  penanaman  padi  bukit. Namun  aktiviti  pertanian  ini  bersifat  sara  diri  dan  dilakukan  secara  bergotong  royong  atau  dikenali  beduruk  dalam  bahasa  Iban  yang  bermaksud  berbalas-balas  semasa  melakukan  kerja  pertanian  antara  penduduk  dalam  rumah  panjang. Satu  kelurga  akan  berkerjasama  dengan  keluarga  yang  lain  dan  saling  membalas  antara  keluarga  untuk  mempermudahkan  kerja  pertanian  tersebut  di  samping  merapatkan  lagi  hubungan  antara  penduduk  kampung. Semasa  aktiviti  pertanian  ini  dijalankan  banyak  perkataan  dianggap  tabu  yang  tidak  boleh  digunakan  oleh  golongan  petani  untuk  mengelakan  kecelakaan  dan  kemudaratan  serta  kerosakan  hasil  pertanian. Oleh  yang  demikian  wajar  untuk  menghindari  penggunaan  kata  tabu  tersebut.
Masyarakat  petani  Iban  sangat  percaya  akan  roh  dan  semangat  yang  jahat  sentiasa  dekat  dengan  kehidupan  manusia  dan  sentiasa  mencari  jalan  untuk  menghancurkan  kehidupan  manusia  dan   merosakkan  apa  sahaja  yang  dimiliki  oleh  manusia. Bagi  masyarakat  petani  Iban  di    Sarawak, pekara  yang  dianggap  tabu  digantikan   dengan  perkataan  atau  frasa  alternatif  yang  dianggap  tidak  difahami  oleh  semangat  atau  roh  jahat  tersebut.  Perkataan  ini  disebut  jaku  kelaung  atau  jaku  silup  dalam  masyarakat  petani  Iban  di  Sarawak. Dipercayai  bahawa  pernah  berlaku  peristiwa  yang  menimpa  orang  yang  melangggar  bahasa  tabu  terhadap  orang-orang  Iban  dahulu  kerana  bagi  mereka  hantu merupakan  lawan  bagi  roh  yang  jahat   dan  juga  penolong  bagi  roh  yang  baik. Perkataan  tabu  ini  masih  diamalkan  dan   diwarisi  secara  turun  temurun  selagi  masyarakat  Iban  masih  menjalankan  aktiviti  pertanian   dan  melakukan  aktiviti  lain  yang  berkaitan  dengan  hutan.  
       Selepas  aktiviti  penanaman  biji  benih  dan  pembajaan  tanaman  dilakukan, masyarakat  petani  Iban  ini  biasanya  akan  berehat  dan  menunggu  padi  masak  namun  sekali-sekala  kawasan  penanaman  akan  dilawat  beberapa  kali.  Adakalanya  mereka  akan  melakukan  aktiviti  lain  seperti  berikan, menorah  getah  dan  sebagainya  untuk  mengisi  masa   lapang  tersebut. Semasa  melawat  kawasan  tanaman  tersebut    masyarakat  petani  Iban  tidak  boleh  menyebut  secara  terus  bahawa  tanaman  mereka  subur  dan  baik-baik  sahaja. Mereka  biasanya  akan  menyebut  berandau  ke  pemanah  nyumbuh  atau  kera  yang   bermaksud  berbual  tentang  kebaikan  kera  dan   monyet. Namun, maksud  yang  ingin  disampaikan  adalah  sebalik nya  iaitu  memberitahu  tentang  padi  yang  subur  dan  tidak  dirosakkan  oleh  binatang  buas. Hal  ini  bertujuan  supaya    hantu  atau  semangat  yang  jahat  tidak  mendengardan  tidak  memahami  maksud  tersebut. Sekiranya  hantu  tersebut  mendengar  bahawa  padi  manusia  baik-baik  sahaja, maka  akan  timbul  perasaan  dengki  dan  dia  berusaha  merosakkan  tanaman  tersebut  dengan  memanggil  binatang  buas  untuk  merosakkan  tanaman  padi  tersebut. Oleh  itu  adalah  tabu  sekiranya  menyebut  secara  terus  tentang tanaman  padi    yang  subur  dan  baik-baik  sahaja . Contoh  pemakaian  kata  eufemisme  tersebut  ialah, “sida  apai  Igat  benung  berandau  ke  pemanah  nyumbuh  bekau  ke  udah  ngabas  umai  kemari”, bermaksud  ayah  Igat  dan  yang  lain-lain  sedang  berbual  tentang  kebaikkan  monyet    atau  kera  selepas  pergi  ke  kawasan  penanaman  padi  semalam.  Makna  sebenar  yang  ingin  disampaikan  ialah  ayah  Igat  dan  yang  lain-lainnya  sedang  berbual  tentang  kesuburan  tanaman  atau  padi  selepas  melihat  kawasan  penanaman  padi  semalam.  
Masyarakat  Iban  di  Sarawak  lebih  banyak  bahasa  pemali  atau  perkataan  tabu  semasa  aktiviti  menuai  dijalankan  berbanding  dengan  aktiviti  lain   yang  berkaitan   dengan  penanaman  padi.  Semasa  aktiviti  menuai  dijalankan, terdapat  banyak  perkataan  tabu  yang  tidak  boleh  digunakan  untuk  mengelakkan  pekara  buruk  berlaku  atau   malaprtaka  berlaku. Sebelum  memulakan  aktiviti  penuaian  atau  pemilihan  biji  padi, masyarakat  petani  Iban  akan  melakukan  pekara-pekara  tertentu  yang  dianggap  penting, antaranya  seperti  melakukan  ikatan  atau  disebut  tanchang  dalam  bahasa  Iban  pada  permulaan  aktiviti  penuaian. Namun  begitu, perkataan  tanchang  ini  tidak  boleh  disebut  secara  terus. Perkataan  alternatif  digunakan  untuk  menggantikan  perkataan  ini  iaitu  temeku  bermaksud   melipat  dalam  bahasa  Melayu. Perkataan  ini  dianggap  tabu  kerana  masyarakt  Iban  percaya  bahawa  pennggunaan  perkataan  tersebut  secara  terus  akan  menyebabkan  beras  cepat  kehabisan  kerana  dianggap  golongan   hantu  jahat  akan  menyertai  manusia  makan. 
Dalam  pemilihan  biji  padi  yang  telah  masak  dengan  yang  masih  hijau,  iaitu  aktiviti  permulaan  menuai  bagi   masyarakat  petani  Iban, pemilihan  biji  padi  yang  telah  masak  tidak  boleh  menggunakan  frasa  memilih  padi  yang  masak  tetapi  disebut  nyumba  sintung. Sintung  merupakan  peralatan  seperti  bakul  namun  lebih  besar  dan  diperbuatan  daripada  rotan  dan  dianyam  sendiri  oleh  pemiliknya. Nyumba  sintung  merupakan  perkataan  yang  digunakan  untuk  menggantikan  penggunaan  frasa  memilih  biji  padi  yang  telah  masak. Hal  ini  bukanlah  untuk  memperkatakan  peralatan  tersebut  sebaliknya  perbuatan  yang  dilakukan  meskipun  makna  yang  diutarakan  jauh  menyimpang  dari  leksikal  yang  digunakan  dan  tidak  mengambarkan  maksud  yang  ingin  disampaikan  atau  diperkatakan. Contoh  penggunaannya, “Kemaya  kita  nyumba  sintung  waey?”, Maksudnya, “Bila  kamu  memilih  biji  padi  yang  telah  masak?’. Seperti  juga  penggunaan  kata    ikatan  di  atas  atau  temuku(tanchang), frasa  ini  dianggap  tabu  kerana  bimbang  hantu  yang  jahat  akan  mempercepatkan  kehabisan  beras  pada  masa   akan  datang.
Selain  itu  semasa  aktiviti  penuaian  dijalankan, masyarakat  Iban  tidak  boleh  menyebut  perkataan  sintung  sudah  penuh  meskipun  pada  hakikatnya  begitu, sebaliknya  masyarakat  iban  akan  menyebutnya  sintung  telah   merua. Merua  bermaksud  melimpah  atau  meruap  jika  diterjemahkan  ke  dalam  bahasa  Melayu. Perkataan  ini  tidak  boleh  digunakan  untuk  mengelakkan  sintung  tidak  mampu  penuh  ataupun  beras  akan  habis  dengan  cepat  kerana  sumpahan  hantu  jahat. Oleh  demikian,  perkataan  penuh  dianggap  tabu  semasa  memperkatakan  sintung  itu  telah  penuh  dan  sebagai  alternatif  digantikan  dengan  perkataan  merua. Contoh  penggunaanya, “Apai  peda  nuan, sintung  nuan  nyau  merua”, bermaksud  “ayah  cuba  ayat  lihat, bakul ayah  sudah  meruap”. Maknaya, memperkatakan  tentang  bakul   atau  sintung  ayahnya  yang  telah  penuh.
Di  samping  itu, semasa  tiba  musim  menuai  iaitu  biasanya  dilakukan  pada  bulan  Mac  atau  bulan April  masyarakat  petani  Iban  tidak  menyebut  akan  menuai  padi  atau  ngetau  kerana  dianggap  tabu  menyebut  perkataan  menuai  secara  terus. Sebaliknya, masyarakat  ini  menggunakan  perkataan  ngambi  buah  rumput  yang  bermaksud  mengambil  atau  mengutip  buah  rumput. Hal  ini  juga  bertujuan  supaya  beras   tidak  cepat  habis  dan  supaya  hantu  yang  jahat  tidak  memanggil  binatang  buas  seperti  kera, babi, landak  dan  sebagainya  untuk  merosakkan  tanaman  mereka. Oleh  itu  digunakan  frasa  tersebut  meskipun  maksudnya  jauh  menyimpang  dari  aktiviti  yang  ingin  dilakukan  dan  tidak  menggambarkan  aktiviti  yang  dilakukan.  Contoh  penggunaannya, “Kemaya  kita ngambi  buah  rumput?”, bermaksud  “bilakah  kamu  mengutip  buah  rumput”, makna  yang  sebenar  yang  ingin  disampaikan  adalah  bertanya  tentang  waktu  penuaian  yang  ingin  dijalankan.
Selain  itu  juga  makan  juga  ada  tabunya  bergantung  pada  tempat  dan  situasi  makan  itu  dijalankan. Biasanya  tabu  untuk  perkataan  makan  atau  makai  di  dalam  bahasa  iban  apabila   berada  di  hutan, diluar  rumah  ataupun  di  kawasan  penanaman  padi. Biasanya  orang  iban  tidak  akan  menyebut  perkataan  tersebut  secara  terang-terangan  sebaliknya  digunakan  perkataan  alternatif  untuk  mengantikan  perkataan  makan  tersebut. Perkataan  makan  atau  makai  ini  disebut  matah  ke  lengan, melekuka jari, merarau, dan  juga  engkima. Engkima  pula  merupakan  bahasa  songsang  yang  digunakan  oleh  masyarakat  Iban  kuno  yang  melibatkan  orang-orang  lama  dan  jarang  digunakan. (http://dayakibanworld.wordpress.com/, http://forum.engkabang.net)
Selain  itu  juga, perkataan  ini  dianggap  tabu  sekiranya  digunakan  secara  terus  di  tanah  ataupun  dihutan  kerana  sekiranya  menyebut  secara  terus  bahawa  hendak  makan  akan  menyebabkan  kempunan. Apabila  berkata   bahawa  mereka  lapar  dan  ingin  makan, tetapi  tidak  terus  makan  akan  menyebabkan  mereka  kempunan. Apabila  berlaku  konsep  kempunan  akan  membawa  kecelakaan  seperti   dipatuk  ular  atau  mendapat  gangguan  hantu  jahat  dan  sebagainya. Oleh  yang  demikian  dianggap  tabu  menyebut  perkataan  makan  secara  terus  semasa  di  tanah  atau  di  hutan. Namun  begitu, sekiranya  perkataan  ini  digunakan  hendaklah  seseorang  atau  sekumpulan    golongan  petani  yang  melakukan  aktiviti  di  tanah  atau  dihutan  terus  makan  dan  jangan  bertangguh  untuk  menggelakkan  mereka  daripada  kempunan dan  seterusnya  akan  membawa  kemudaratan  kepada  mereka.
Namun  begitu, adakalanya  perkataan  makan  atau  makai  itu  dianggap  tabu  semasa  ingin  makan  di  rumah  bagi  sesetengah masyarakat  Iban  yang  masih  tidak  memiliki  agama  ataupun  mengamalkan  agama  animisme. Biasanya  masyarakat  ini  akan  menggunakan  perkataan  merarau  untuk  mengantikan  perkataan  makai  atau  makan  sekiranya  aktiviti  makan  itu  berlangsung  dirumah  namun  ia  hanya  digunakan  pada  waktu  tengah  hari  sahaja. Ini  bermaksud  penggunaan  merarau  ini  hanya  merujuk  kepada  perlakuan  makan  pada  waktu  tengah  hari  sahaja. ( http://dayakibanworld.wordpress.com)
Selain  itu  dalam  bentuk  pertanyaan  ayat  songsang  akan  digunakan  sekiranya  ingin  bertanya  tentang  peristiwa  makan  kepada  yang  diajak  berbicara  sebagai  kata  eufemisme  untuk  mengantikan  perkataan  tabu. Namun  perkataan  ini  melibatkan  sebaris  ayat  penuh, contohnya, “dauh  engkima  anun  awey?”, jika  disusun  dengan  betul  ayatnya  ialah, “udah  makai  nuan   waey?”. Ayat  ini  bermaksud  “sudah  makan  kamu?” Waey  itu  hanyalah  nama  panggilan  yang  menunjukkan  keakraban  seperti  antara  sahabat  atau  rakan  sebaya  untuk  mengantikan  nama  yang  diajak  berbicara. Penggunaan  frasa  songsang  tersebut  juga  bertujuan  mengelakkan  hantu  mengerti  maksud  yang  ingin  disampaikan  dan  akan  menyebabkan  hantu  tersebut  mendatangkan  kecelakaan  atau   kemudaratan    kepada  pembicara  atau  yang  diajak  berbicara.  Sekiranya  kedua-dua  pihak  belum  makan  akan  menyebabkan  hantu   berkongsi  makanan  dengan   mereka  sekiranya  mereka  makan  selepas  berlangsungnya  peristiwa  perbualan  tersebut. Oleh  itu  perkataan  makan  tidak  boleh  disebut  secara  terus.
Selain  dalam  aktiviti  pertanian, masyarakat  petani  Iban  sangat  menjaga  semua  aspek  yang  berkaitan  dengan  ibu  dan  anak  yang  masih  kecil  atau  bayi. Dalam  masyarakat  Iban, mereka  percaya  bahawa  hantu  sangat  suka  mengganggu  ibu  dan  anak  yang  masih  kecil  dan  adakalanya  akan  membawa  maut. Pernah  berlaku  bahawa  terdapat  gangguan  hantu  terhadap  ibu  yang  melahirkan  bayi  sehingga  menyebabkan  bayi  meninggal. Gangguan  ini  sama  ada  dapat  dilihat  atau  didengar  seperti  bunyi  yang  yang  diangggap  dikeluarkan  oleh  roh  jahat  tau  hantu   jahat  yang  cuba  menganggu  ibu  dan  bayi  tersebut. Oleh  demikian, sebelum  melahirkan  anak  semau  lampu  akan  dinyalakan  di  sekeliling  rumah  dan  bomoh  diundang  untuk  menjaga  keselamtan  ibu  dan  bayi  yang  bakal  dilahirkan. Perkataan  yang  berkaitan  kelahiran, bayi  dan  yang  seangkatan  dengannya  tidak  boleh  disebut  sama  sekali. Hal  ini  menyebabkan  masyarakat  Iban  sangat  mengambil  berat  akan  prihal  yang   berkaitan  dengan  ibu  dan  anak, lebih-lebih  lagi  anak  kecil  yang  belum  mengerti  tentang  kehidupan. Bagi  masyarakat  Iban, anak  kecil  perlu  diberi  perhatian  lebih  dan  harus  dijaga  rapi  supaya  dijauhkan  daripada  sebarang  kecelakaan  atau  kesusahan  yang  dilakukan  oleh  hantu  jahat  atau  roh  atau  semangat  jahat.
Adakalanya  pekara  yang  dianggap  tidak  logik  pada   masa  kini, dianggap  tabu,  iaitu  berkaitan  hal  yang  remeh  temeh  sebenarnya  sangat  dipentingkan  masyarakat  Iban. Sekecil-kecil  pekara  itu  mampu  mendatangkan  malapetaka  buruk  yang  mampu  menghancurkan  segala  kegembiraan  dan  keharmonian  manusia. Oleh  itu  pekara  yang  dianggap   tabu  amatlah  dihindari  daripada  disebut  untuk  mengelakkan  pekara  buruk   berlaku. Dalam  masyarakat  Iban, sekiranya  mereka  ingin  memperkatakan  tentang  bayi  yang  sihat, gemuk, cantik, dan  sebagainya  yang  berkaitan  tidak  boleh  disebut  secara  terus. Masyarakat  Iban  akan  menggunakan  perkataan  jai  yang  bermaksud  buruk  dalam  bahasa  Melayu. Contohnya jika  seseorang  ingin  memuji  kecantikan  atau  ketampanan  anak  kepada  yang  diajak  berbicara  akan  berkata, “Jai  amat  gamal  anak  nuan  endu”, yang  bermaksud  “buruk  benar  muka  anak  kamu”. Jika  dinilai  perkataan  ini  amat  bertentangan   dengan  maksud  yang  ingin  disampaikan. Hal  ini  menandakan  masyarakat  Iban   perlu  merendah  diri   untuk  mengelakkan  kecelakaan  pada  anak  itu  dan  tidak  boleh  meninggi  diri meskipun  pekara  itu  benar  berkaitan  dengan  pekara  yang  dibicarakan. (http://dayakibanworld.wordpress.com/)
Selain  itu  juga,  untuk  menilai  paras  rupa  juga  tidak  boleh  disebut  secara  terus  untuk  golongan  kanak-kanak. Meskipun  jika  dilihat  sangat   kacak  ataupun  cantik. Perkataan  cantik  ataupun  kacak  diangggap  tabu  dan  tidak  boleh  digunakan  secara  terus. Bagi  memperkatakan  bahawa   anak  itu  kacak  atau  cantik  digunakan  perkataan  sigat  anak  chauk  sebagai  kata  eufemisme. Anak  chauk  merupakan  sejenis  binatang  yang  comel. Hal  ini  bertujuan  untuk  mengelakkan   didengar  oleh  hantu  jahat  dan  seterusnya  akan  membawa  malapetaka  atau  kecelakaan  kepada  anak  kecik  atau  budak  tersebut.  Oleh  itu, perkataan  yang  berkaitan  dengan  binatang  yang  hampir  serupa  dengan  kecantikan  dan  kesempurnaan  manusia  akan  digunakan  agar  hantu  tidak  memahami  maksud  yang  disampaikan  di   samping  menjaga  kesejahteraan  kanak-kanak  tersebut. Contohnya  penggunaanya, “anak mit nya sigat  anak  chauk  yang  bermaksud  budak  ini  kacak  atau cantik. (http://forum.engkabang.net)
Selain  itu, dalam  masyarakat  Iban  terdapat  perkataan  tabu  untuk  memperkatakan  tentang  seseorang  anak  kecil  ataupun  bayi  yang  baru  lahir. Bayi  yang  baru  lahir  tidak  boleh  disebut  secara  terus. Bayi  yang  baru  lahir  dikenali  sebagai  anak  ulat. Anak  ulat  ini  sendiri  menggambarkan  bahawa  kekecilan  dan  sangat  lembut. Mungkin  secara  nyata  hal  ini  agak  tidak  logik  namun  jika  dilihat  dari  segi  makna  dan  sifat-sifatnya ada  kaitan  antara  anak  ulat  dengan  anak  yang  baru  lahir. Perkataan  anak  yang  baru  lahir  dianggap  tabu  untuk  menjaga  keselamatan, kesihatan  dan  kesejahteraan   bayi  tersebut  dari  gangguan  hantu  jahat  atau  roh  jahat  yang  suka  akan  anak  yang  baru  lahir. Lagipun  bayi  yang  baru  lahir  memerlukan  perhatian  yang  lebih  dan  mudah  mendapat  penyakit  dan   gangguan. Contohnya, “kami  baru  pulai  ari  rumah  Dom, meda  anak  ulat  Dom tadi”, maksudnya  “kami  baru  balik  dari  rumah Dom, menjengok  anak  Dom  yang  baru  lahir”. (http://forum.engkabang.net)
Di  samping  itu  juga, terdapat  perkataan  tabu  bagi  memperkatakan tentang  berat  kanak-kanak. Sekiranya  berat  kanak-kanak  itu   sangat  berat  tidak  boleh  sebut  secara  terus  perkataan  berat  itu. Sebaliknya, jika  berat  kanak-kanak  itu  ringan  sahaja  boleh  digunakan  secara  terus  perkataan  ringan  yang  menunjukkan  berat  tersebut.  Perkataan  alternatif  yang  yang  digunakan  untuk  menggantikan  perkataan  berat  ialah  pait  atau  bermaksud  pahit   dalam  bahasa  Melayu. Biasanya  mereka  akan  menyebut “ Pait amat  anak  nuan”  yang  bermaksud  “berat  sangat  anak  kamu”  atau  “anak  kamu  berat  sangat”. Meskipun  pait  itu  berkaitan  rasa  namun  digunakan  perkataan  ini  untuk  menunjukkan  kesukaran  untuk  mengangkat   budak  atau  kanak-kanak  yang  dimaksudkan.  Leksikal  yang  digunakan  jauh  menyimpang  dari  makna  dan  tidak  mengambarkan  tentang  sifat-sifat   yang  ingin  ditonjoklan. Namun  itulah  yang  telah  dipersetujui  oleh  masyarakat  Iban  untuk  memperkatakan  tentang  berat  kanak-kanak  dan  semua  akan  faham  bahawa  pait  itu  menunjukkan  bahawa  kanak-kanak  tersebut  memiliki  berat  badan  yang  sangat  berat. Hal  ini  dianggap  tabu  kerana  bimbang  roh  jahat  atau  hantu  jahat  datangkan  penyakit  atau  gangguan  kepada  budak  tersebut.  Hal  ini  sangat  diyakini  dan  dipercayai  oleh  masyarakat  Iban  sehingga  ke  hari  ini.
2.0     Kesimpulan
Kesimpulanya, masyarakat  petani   Iban  sangat  berpegang  teguh  pada  kepercayaan  dan  adat  yang  telah  lama  dipraktikan  dan  dipercayai   benar-benar  terjadi  di  dalam  kehidupan  meskipun  dalam  dunia  moden  pada  masa  kini. Berdasarkan  kajian  yang  dijalankan  masyarakat  petani  Iban  lebih  banyak  kepercayaan  yang  menghasilkan  perkataan  tabu  dan  eufemisme  semasa  musim  menuai. Selain  itu  juga, masyarakat  Petani  Iban  juga  sangat  menitik  beratkan  soal  bayi  dan  budak  kecil, sehingga  tabu  menggunakan  perkataan  bayi  atau  budak  kecil   dan  juga  tentang  sifat  kanak-kanak. Oleh  yang  demikian  diharap  kajian  dan  maklumat  yang  dipaparkan  dalam  kajian  ini  dapat  membantu  masyarakat  lain  memahami  dan  mengetahui  sedikit   sebanyak  tentang  bahasa  dan  gaya  hidup  masyarakat  petani  Iban   khasnya. Sesungguhnya, unsur  tabu yang  terdapat  dalam  masyarakat  menyekat  seseorang  daripada  berbahasa  dengan sewenang-wenangnya, tetapi  keadaan  ini  diterima  dan  dipersetujui  oleh  anggota masyarakat  seluruhnya.






Related Posts with Thumbnails