BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, October 31, 2009





UNTUK PENGETAHUAN UMUM
Rustik Shanghai Pahang
Banglo estet ini masih megah berdiri selepas lebih tujuh dekad, setegap susunan kayunya yang langsung tidak berdecit.
LOKASINYA yang sedikit terlindung di atas bukit berhutan sekunder di pinggir pekan Bentong, Pahang hampir membuatkan kunjungan kami tersasar laluan. Mujur hajat bertandang kesampaian kerana tidak terlepas pandang akan susur masuk ke halaman rumah estet milik Ted Miles ini.
Bekas guru yang mula menjalankan perkhidmatannya sejak zaman pramerdeka ini membeli rumah estet yang bernama Shanghai Pahang itu sekitar tahun 1964 ketika tanah ladang di situ diisytihar untuk dijual.
Binaan berjiwa kolonial di atas bidang tanah seluas 2.5 hektar ini benar-benar menarik minatnya lalu harga RM20,000 telah dibayarnya untuk geran bertukar tangan daripada pemilik asalnya
Kini, selepas diuji cuaca, waktu dan zaman, rumah estet Shanghai Pahang masih tersergam megah. Hanya lapisan catnya yang kelihatan menggelupas dan pudar namun itu menambah lagi karakter.
Sejurus melangkah masuk pintu utama yang dipasang jeriji gelangsar, istilah rustik kelihatan ruang tangga lebar di tengah-tengah rumah yang memberi ciri jelas akan reka bentuk rumah estet. Terdapat dua bahagian penting di sebelah kiri dan kanan tingkat bawah itu.
Langkah ke kanan akan membawa seseorang melihat sebuah ruang makan yang mengimbau suasana makan malam aristokrat.
Di situ, lelaki berusia 82 tahun ini melayani kunjungan selera lapan orang tetamu di meja yang dinaungi sinar lampu gantungan klasik. Ruang tersebut bersambung dengan bilik utiliti yang kini telah diubah menjadi dapur.
"Dapur yang dipasang pintu kandang ini berintegrasi dengan halaman kebun kecil di belakang rumah supaya hasil tanaman yang sering digunakan untuk masakan mudah diperolehi di sini," kata Miles tentang bahagian yang dahulunya dikhaskan untuk pembantu rumah.
Boleh dikatakan, dapur lelaki yang berasal dari Amerika Syarikat ini menyimpan jauh lebih banyak perkakasan Melayu lama berbanding rumah Melayu sendiri! Sungguh jarang kini kita melihat kukur kelapa kayu berbentuk bayi merangkak, lesung dan batu giling berukir serta bejana tembaga bermotif.
Mencermin peribadi
Beralih ke bahagian di sebelah kiri dari pintu masuk pula adalah sebuah ruang tamu berlantai jubin terracotta yang banyak mencerminkan peribadi penghuninya
Di bawah naungan siling berpalang kayu jati dan beralas permaidani warna polos, ruang itu tampil terisi dengan susun atur gabungan sofa upholsteri, meja kopi kayu, meja konsol dan sebuah piano lama.
Tingginya nilai memori kehidupan Miles sememangnya tiada tandingan. Bahan penerbitan seperti buku, majalah dan akhbar terpilih yang menjangkau usia berpuluh-puluh tahun masih disimpan dengan baik untuk bahan bacaan.
Begitu juga indahnya potret keluarga, foto pemandangan, ornamen dan arca kecil serta pokok hidup yang menjadi pelengkap pandangan di setiap penjuru dan sisi dindingnya.
"Pada mulanya, ruang tamu ini terpisah kepada beberapa bahagian kerana dijadikan ruang-ruang yang lebih kecil," ujar Miles yang merobohkan dinding pembahagi itu kerana mahukan ruang yang luas dan bebas.

Sejak awal dibina, keperluan tiga bilik air di rumah itu turut dilengkapi mesin pemanas air automatik janaan kerosin. Walau tidak lagi beroperasi, tangki mesin tersebut masih dikekalkan sebagai nilai kenangan.
"Sebelum terdapat bekalan elektrik, tenaga yang dihasilkan kerosin digunakan untuk sistem pemanasan air dan peti sejuk untuk kebanyakan estet," jelas Miles.
Saat dipelawa naik ke tingkat atas, dikenal pasti suatu perkara yang amat mengagumkan krew Ruang. Panel kayu tangga yang dipijak kedengaran mantap dan langsung tidak berdecit. Falsafah keteguhan dalam pembinaan bangunan zaman pramerdeka sedikit sebanyak sudah terjawab di situ.
Tangga tersembunyi
Tidak seperti yang dijangka, ruang interaktif keluarga ditingkat atas itu terasa sungguh sejuk dan berangin. Ini dibantu bukaan jendela di sekeliling sisi dinding kayu itu membenarkan aliran udara yang bersih, apatah lagi kedudukan rumah yang mendapat sedikit sokongan altitud.
Dua buah bilik tidur yang besar dipisahkan oleh ruang keluarga tersebut. Lengkap dengan almari dan kabinet kayu yang hampir seusia tuan rumah, kedua-dua bilik itu dilengkapi katil kurungan berjaring untuk mengelak nyamuk.
Bilik tidur utama didapati bersambung dengan sebuah bilik persalinan tambahan. Turut ditemui adalah sebuah tangga tersembunyi di belakangnya yang membawa penghuni turun ke bilik utiliti yang dahulunya dijadikan tempat storan linen dan helaian fabrik lain.
Tangga tersebut juga bertindak sebagai laluan ke bilik air secara terlindung. Menurut kisahnya, pada zaman dahulu, tandas tidak dihubungkan dengan tangki septik, sebaliknya kerja-kerja pencucian dan pembersihan dilakukan oleh seorang pekerja upahan pada setiap awal pagi.
Secara keseluruhannya, watak setiap barangan di dalam banglo ini adalah refleksi kekayaan khazanah budaya pada zaman ia dibina.
Nyata sekali, aura dalaman rumah estet Shanghai Pahang ini impak daripada pertembungan elemen tamadun Barat dan tradisional Malaya.

Related Posts with Thumbnails