BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 8, 2010

PENGIMBUHAN MEMPERKAYA KOSA KATA BAHASA MELAYU
oleh SUHAIMI MOHD SALLEH

SATU daripada cara pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu adalah dengan pengimbuhan. Malahan, bahasa Melayu adalah antara bahasa di dunia yang membentuk banyak perkataannya menggunakan proses pengimbuhan. Dengan ciri ini, bahasa Melayu tergolong ke dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Proses pembentukan kata dengan cara ini adalah dengan menggabungkan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan.

Imbuhan merupakan morfem terikat, iaitu bentuk yang tidak dapat wujud secara bersendirian. Bentuk ini hanya membawa makna apabila digabungkan dengan morfem bebas, iaitu kata dasar. Imbuhan digandingkan dengan kata dasar dalam empat keadaan, iaitu mendahului, mengikuti, mengapit dan menyisipi kata dasar. Bentuk perkataan yang terhasil daripada proses penggabungan dua morfem tidak setara ini dipanggil kata terbitan.

Berdasarkan kedudukan atau keadaan itu, imbuhan terdiri daripada empat jenis, iaitu masing-masing dikenali sebagai awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Perkataan sambung umpamanya, dapat dijadikan bersambung (awalan), sambungan (akhiran), disambungkan (apitan) dan sinambung (sisipan). Malahan, bentuk sisipannya dapat pula menerima awalan dan apitan, iaitu bersinambung, bersinambungan, dan kesinambungan.

Imbuhan dalam bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan kata nama, imbuhan kata kerja, dan imbuhan kata adjektif. Imbuhan-imbuhan ini tidak sahaja dapat bergabung dengan kata dasar tunggal dan kata akar tertentu, tetapi juga dengan kata dasar terbitan dan kata dasar majmuk.




Selain imbuhan-imbuhan di atas, bahasa Melayu mempunyai imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit, Arab-Parsi dan Inggeris. Imbuhan pinjaman terdiri daripada jenis awalan dan akhiran. Imbuhan pinjaman yang lazim digunakan adalah seperti yang berikut:



Terdapat bentuk imbuhan yang sama tetapi membawa fungsi yang berbeza dalam penggunaannya. Awalan ter- berfungsi membentuk kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan. Misalnya, dalam terambil dan terjumpa, imbuhan itu membentuk kata kerja, tetapi dalam terindah dan terpenting pula, yang terbentuk ialah kata adjektif. Yang lebih unik ialah apitan ke-...-an dapat membentuk kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Contohnya, kepahlawanan, kedatangan dan keburukan merupakan kata nama, tetapi kehujanan, kelihatan dan kesempitan ialah kata kerja (pasif), dan kebaratan, kecinaan dan keinggerisan pula merupakan kata adjektif.
Bentuk akhiran tidak wujud dalam kata adjektif. Demikian juga sisipan, tidak wujud dalam kata kerja. Walau bagaimanapun, sisipan kata nama dan kata adjektif boleh dijadikan sisipan kata kerja sekiranya sisipan itu diberikan imbuhan kata kerja.

Penggabungan bentuk awalan pe- dan me- dengan kata dasar yang huruf pertamanya ialah p, k, t dan s, dapat menyebabkan huruf pertama itu mengalami penggantian dengan huruf lain yang terdiri daripada jenis sengau, iaitu masing-masing menjadi m, ng, n, dan ny. Huruf-huruf pengganti itu sama daerah artikulasinya atau bersifat homorganik dengan huruf-huruf yang digantikan. Hal yang sama terjadi pada apitan yang diawali oleh pe- dan me-.

Bentuk awalan penge- dan menge- pula terbit daripada awalan peng- dan meng-. Hal yang demikian terjadi sekiranya awalan-awalan itu digabungkan dengan kata dasar ekasuku kata (satu suku kata), seperti pengecat, pengebom dan pengetin, serta mengecat, mengebom dan mengetin. Keadaan ini turut wujud pada apitan yang bermula dengan pe- dan me-.

Proses pengimbuhan menghasilkan perubahan kepada golongan kata. Mana-mana golongan kata, sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas, apabila digandingkan dengan imbuhan berkenaan, akan membentuk kata terbitan mengikut jenis imbuhan yang digunakan. Kata dasar jalan, asalnya ialah kata nama, tetapi menjadi kata kerja apabila diimbuhkan dengan ber-, -i, men-...-kan, dan men-...-i.

Terdapat juga pengimbuhan yang mengekalkan golongan kata. Hal ini terlihat pada kata dasar cantik, yang merupakan kata adjektif, masih mengekalkan golongan kata itu walaupun digandingkan dengan imbuhan se- dan ter-. Namun demikian, kata dasar itu dapat berubah golongannya menjadi kata nama apabila digandingkan dengan ke-...-an, dan menjadi kata kerja setelah digandingkan dengan memper-, diper-, men-...-kan, dan di-...-kan.

Pengimbuhan juga menghasilkan makna yang berbeza apabila digunakan imbuhan yang berbeza. Contohnya, perkataan lari menerbitkan makna yang berlainan apabila diimbuhkan menjadi larian, pelarian, berlari, dilarikan dan melarikan. Dengan hal yang sedemikian, pengimbuhan telah meluaskan makna asal sesuatu perkataan.

Sesungguhnya, pengimbuhan telah memperkaya kosa kata bahasa Melayu dan seterusnya dapat mengungkapkan makna dalam pelbagai aspek yang diperlukan. Oleh sebab itu, imbuhan harus digunakan apabila diperlukan.

Related Posts with Thumbnails