Perhatian!bahan yang diambil ini 100% seperti yang ditulis pemilik asal, kita tak berhak menciplak hak orang lain oleh itu dikekalkan nama penulis asal. tujuan teks ini masih suci kerana tujuan saya hanyalah untuk berkongsi dengan pembaca yang lain tentang maklumat tabu dan bukanya untuk kepentingan saya sendiri. harap maklum!
Tabu dalam bahasa: Sebab kewujudannya
Tabu dalam bahasa: Sebab kewujudannya
Oleh: Aswiza Awang
Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-hari. Menurut Asmah Haji Omar, “bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu”. Bahasa merupakan suatu unsur yang dinamik, yakni sentiasa berubah-ubah mengikut situasi dan zaman atau perkembangan semasa. Oleh hal yang demikian, menurut S. Nathesan, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat, adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam situasi tertentu.
Sebahagian daripada kajian makna atau semantik yang dikaji ialah tabu dalam bahasa. Kata tabu seperti yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud “sesuatu yang dilarang, pantang larang atau yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan”. Mengikut Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu, tabu ialah “suatu keadaan untuk mengelakkan penggunaan kata yang tidak sopan atau dilarang”. Apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Menurut Teo Kok Seong, topik-topik yang sering dianggap tabu dalam masyarakat Melayu antaranya hal-hal yang berkaitan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Selain itu, masyarakat Melayu juga sangat sensitif dengan hal-hal yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan.
MENGAPA TABU WUJUD?
Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut merangkumi faktor yang berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:
(a) Adat dan Kepercayaan
Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah yang menjadi panduan dalam dalam kehidupan mereka sejak dahulu. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur Bahasa Melayu mengatakan bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan kemudiannya Islam, percaya pada semangat, baik pada makhluk bernyawa mahupun tak bernyawa seperti pokok-pokok, kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu, perlakuan terhadap benda-benda itu hendaklah secara sopan santun. Bagi masyarakat Melayu, perlakuan yang tidak sopan dan kasar, sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan akan memberi kemudaratan kepada orang yang berkenaan. Oleh hal yang demikian, segala perkara yang berkaitan dengan perkara tersebut dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Oleh sebab ada larangan tertentu yang telah ditetapkan oleh masyarakat dalam berbahasa tentang perkara-perkara yang berkenaan, maka ungkapan-ungkapan yang dianggap tabu telah digantikan dengan istilah lain yang dianggap lebih sopan dan manis didengar.
Untuk menjaga hati ‘semangat’ yang ada pada benda-benda tersebut, masyarakat Melayu menggantikan perkataan tertentu yang dianggap tabu dengan perkataan lain yang lebih halus sifat atau lebih tersembunyi maksudnya. Sebagai contoh, kata datuk ataunenek digunakan apabila seseorang melalui tempat tertentu yang dipercayainya wujud ‘penunggu’ atau hantu. Kata datuk ataunenek tersebut merujuk pada ‘penunggu’ atau hantu yang dipercayainya tinggal di tempat tersebut. Penggantian kata tersebut untuk menunjukkan bahawa orang yang menyebutnya sangat menghormati ‘penunggu’ itu dan berharap agar mereka tidak ‘diganggu’ dan memberi kemudaratan kepadanya. Kata datuk dalam maksud dan keadaan biasa merujuk kepada “bapa kepada ayah atau ibu seseorang.” (Kamus Dewan Edisi Keempat), manakala kata nenek pula bermaksud “orang tua kepada emak atau ayah. Umumnya, kata tersebut juga merupakan panggilan seseorang kepada bapa kepada ayah atau ibunya. Begitu juga dengan katanenek. Datuk dan nenek merupakan kedudukan ahli keluarga yang sangat dihormat. Kedudukan tersebut membuatkan seseorang yang bergelar datuk atau nenek sangat dihormati oleh cucu-cucunya sebagai orang yang lebih tua. Oleh sebab itulah kata datukatau nenek digunakan untuk merujuk hantu atau ‘penunggu’ yang dipercayai itu kerana ‘mereka’ perlu dihormati sama seperti datuk atau nenek seseorang.
Dari segi adat, unsur tabu turut memainkan peranan penting dalam menjaga tradisi yang turunkan oleh warisan terdahulu, terutama dalam konteks perhubungan sosial. Sebagai contoh, apabila ada kematian anggota masyarakat, perkataan mati sama sekali tidak boleh digunakan bagi merujuk perihal kematian tersebut. Sebaliknya, masyarakat Melayu lebih selesa menyebut meninggal dunia, atau dalam konteks lain kembali ke rahmatullah. Begitu juga apabila merujuk pada orang yang meninggal dunia, kata mayat juga dianggap tidak sopan disebut, tetapi digantikan dengan jenazah. Jika dilihat dari sudut makna, kata mati bersinonim denganmeninggal dunia, begitu juga kata mayat yang bersinonim dengan jenazah. Bagaimanapun, hal ini berbeza jika dilihat dari sudut adat dan kesopanan dalam masyarakat Melayu. Fenomena inilah yang dikatakan sebagai tabu kerana adanya larangan tersebut dalam masyarakat yang menjunjung adat tersebut.
(b) Takut
Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya. Oleh itu, seboleh mungkin mereka tidak mahu bertembung dengan binatang-binatang tersebut kerana mungkin akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa sekiranya nama binatang seperti harimau, gajah atau babi hutan disebut dengan lafaz namanya yang sebenar, mereka akan bertembung dengan binatang tersebut, dan mungkin akan mengganggu atau membawa kemudaratan kepadanya. Selain itu, masyarakat Melayu juga percaya sekiranya binatang-binatang tersebut dicabar, dimarahi atau dikeji dengan kata-kata nista, orang tersebut akan ditimpa musibah yang teruk. Sebagai contoh, jika seseorang itu menyumpah atau berkata sesuatu yang tidak baik terhadap babi hutan atau tikus yang merosakkan tanamannya, nescaya tanamannya akan dimusnahkan sama sekali oleh segerombolan babi hutan atau tikus yang dinista itu. Begitu juga sekiranya seseorang itu mencabar kekuatan dan ‘kewibawaan’ gajah dan harimau, mereka mungkin akan bertembung dengan haiwan tersebut. Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, nama binatang tersebut digantikan dengan sebutan lain seperti berikut:
Nama haiwan | Nama gantian |
harimau | Pak Belang |
gajah | orang besar |
ular | akar |
buaya | batang hanyut |
tikus | Cik Siti |
Kata Pak Belang bagi menggantikan harimau digunakan merujuk belang yang terdapat pada badannya. Dengan demikian, kataharimau tidak lagi disebut, terutamanya semasa berada di dalam hutan kerana jika disebut, seolah-olah orang yang menyebutnya memanggil harimau tersebut. Begitu juga dengan kata orang besar yang menggantikan kata gajah. Istilah orang besar merujuk sifat gajah yang besar badannya. Istilah tersebut juga memberi perlambangan bahawa orang yang menyebutnya menghormati gajah yang besar dan kuat yang boleh memusnahkan tananan dan nyawa manusia. Kata akar bagi menggantikan ular pula merujuk sifat ular yang menjalar seperti akar pokok. Begitulah kebijaksanaan orang Melayu dalam penciptaan istilah baharu bagi menggantikan nama haiwan yang ditakutinya.
(c) Unsur seks/lucah/fungsi badan
Masyarakat Melayu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam sejak abad ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri. Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumahtangga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata yang berkaitan yang dianggap tabu tersebut digantikan dengan perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan halus. Senarai perkataan tersebut adalah seperti berikut:
Kata tabu | Kata gantian |
pantat | kemaluan |
butuh | |
puki | |
burit | |
jubur/dubur | punggung |
kopek | buah dada/payudara |
tetek | |
haid | datang bulan, datang kotor |
bersetubuh | hubungan kelamin |
mengandung | hamil/berbadan dua |
Selain itu, hal-hal yang berkaitan dengan fungsi badan manusia, seperti berak, kencing, tahi, dan kentut juga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata tersebut dianggap kotor dan kasar. Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata yang lebih sopan, iaitu buang air besar/ke sungai besar, buang air kecil/ke sungai kecil, najis, dan buang angin. Pemilihan kata tersebut disebabkan maknanya masih lagi berkonotasi dengan kata asalnya walaupun pada asasnya kata tersebut mempunyai makna yang lain. Kata buang air besar/ke sungai besar, misalnya merujuk perbuatan berak secara tidak langsung dan tidak berterus-terang. Begitu juga dengan kata buang angin yang sebenarnya berkonotasi dengan perbuatan membuang angin perut melalui saluran dubur. Perbuatan tersebut walaupun lumrah bagi manusia, tetapi tidak sopan bagi masyarakat Melayu sekiranya disebut dengan perkataan kentut kerana dianggap sangat kasar dan tidak berbudi bahasa. Oleh sebab itu, kata tersebut digantikan supaya menjadi lebih sopan dan halus budi pekerti bagi orang yang menyebutnya.
Ironinya, kewujudan tabu dalam bahasa membawa natijah yang cukup baik dalam perkembangan bahasa dan budaya Melayu. Secara tidak langsung, unsur kesantunan dalam berbahasa atau eufemisme turut berkembang dalam masyarakat. Menurut Teo Kok Seong,eufemisme ialah perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian, kata tahi, kencing, dan berak tersebut digantikan dengan kata lain yang dianggap lebih sopan, seperti najis, buang air kecil, dan buang air besar.
Oleh sebab masyarakat Melayu menganggap kata-kata tersebut berupa kata yang dilarang penggunaannya secara langsung, maka wujudlah unsur eufemisme atau kesantunan dalam berbahasa. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Keadaan ini wujud kerana selepas kedatangan Islam, bangsa Melayu begitu mementingkan adab sopan seperti yang diajarkan dalam Islam. Akhlak yang terpuji seperti yang diajarkan oleh Rasulullah (S.A.W) begitu mempengaruhi masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dalam perbuatan, justeru dalam pertuturan harian. Hal inilah yang membudaya dalam masyarakat Melayu sehingga wujudnya konsep kesantunan atau eufimisme bagi menutup hal-hal yang tabu tersebut. Hal ini demikian kerana, dalam masyarakat Melayu, seseorang yang menggunakan kata-kata yang dianggap tabu bukan sahaja dianggap tidak beradab tetapi juga boleh menyinggung perasaan orang yang berkenaan. Sebagai contoh, hal-hal yang berkaitan dengan wanita, seperti haid, mengandung, tetek atau kopek dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata ini dianggap sebagai kata-kata yang tidak manis atau mengandungi unsur lucah, lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh seseorang lelaki di hadapan seorang perempuan. Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata seperti yang telah dijelaskan sebelumnya. Hal yang demikian kerana, seseorang yang mengucapkan kata-kata yang dianggap tabu boleh dianggap sebagai orang yang tidak sopan atau tidak tahu adab dan budi bahasa. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang mementingkan budi bahasa yang tinggi. Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan seseorang itu dikatakan sebagai orang yang tidak berbudi bahasa atau bermulut celupar, sesuatu perkataan yang dikatakan tabu akan dijelaskan dengan panjang lebar melalui kata-kata atau ayat yang berlapis atau berkias. Bentuk kiasan inilah yang merupakan sirkumlokusi yang digunakan sebagai pelarian supaya kata yang menjadi tabu tersebut tidak disebut secara terang-terangan.
Suatu hal yang menarik dalam membicarakan soal kata-kata yang berunsur tabu ialah sesetengah kata tersebut tidak dianggap tabu dalam situasi tertentu. Walaupun pada asasnya semua kata yang dianggap tabu dilarang penggunaannya dalam percakapan, tetapi larangan tersebut adalah terbatas dalam situasi yang tertentu sahaja. Larangan atau sekatan penggunaan kata-kata yang dianggap tabu hanya meliputi aspek rujukan khusus bagi makna asal perkataan tersebut sahaja, misalnya, kata tahi, kencing, dan berak.Sekiranya kata-kata tersebut diucapkan untuk merujuk makna asalnya, iaitu tahi merujuk pada hampas atau sisa buangan manusia yang keluar dari dubur, atau perbuatan kencing dan berak yang dilakukan oleh manusia, kata-kata tersebut dianggap tabu. Walau bagaimanapun, kata-kata tersebut tidak lagi dianggap tabu sekiranya digunakan dalam bentuk nama sesuatu benda atau penyakit atau sifat sesuatu yang berbentuk kiasan. Contohnya, kata majmuk kiasan tahi lalat yang merujuk bintik hitam yang ada pada kulit manusia atau tahi itik, sejenis kuih tradisional di negeri Kelantan. Suatu kejanggalan dalam masyarakat sekiranya kata tersebut ditukar menjadi najis lalat atau najis itik bagi merujuk hal yang sama. Kata kencing malam atau kencing manis yang merujuk sejenis penyakit yang dihidapi manusia juga tidak dianggap tabu, malah orang yang menyebutnya juga tidak berasa segan dan bersalah. Orang yang mendengarnya juga tidak akan tersinggung dan menganggap orang yang mengucapkannya sebagai tidak sopan. Hal yang demikian kerana, orang yang mendengarnya memahami bahawa kata yang diucapkan itu merujuk nama penyakit, bukannya perbuatan kencing itu.
Begitu juga dengan bentuk peribahasa Melayu yang berbentuk kiasan, seperti macam cicak berak kapur, dan guru kencing berdiri murid kencing berlari. Kata berak dan kencing yang disebut dalam peribahasa tersebut tidak dianggap tabu. Menurut Teo Kok Seong, hal ini berlaku kerana “sesuatu perkataan atau ungkapan yang menjadi tabu itu dilarang penggunaannya pada topik dan ranah (bidang) tertentu sahaja”. Ungkapan tabu juga tidak akan dianggap tabu sekiranya penggunaannya merujuk pada binatang. Hal ini demikian kerana, sesuatu yang dianggap tabu itu hanya berlaku sekiranya ia melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan manusia sahaja, lebih-lebih lagi yang merujuk kaum wanita. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Teo Kok Seong, “tidak betul, tidak perlu, dan amat janggal dari segi sistem bahasa Melayu apabila kita melafazkan atau menulis ungkapan sesopan ini – “Kucing jiran sebelah selalu buang air besar di halaman rumah saya”. Hal ini bermaksud, walaupun seseorang itu ingin bersikap sopan, penggunaanbuang air besar yang digunakan bagi merujuk perbuatan kucing tersebut adalah tidak tepat dalam konteks penggunaan bahasa Melayu. Tidak menjadi suatu kesalahan dan tidak pula dianggap tidak sopan seseorang itu sekiranya dia menggunakan ungkapankucing itu berak.
Sesungguhnya pengetahuan anggota masyarakat dalam soal kesantunan berbahasa, terutama aspek tabu dalam masyarakat Melayu adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana, pengetahuan inilah yang menjadi ukuran sama ada seseorang itu berbudi pekerti, berbudi bahasa, beradat atau bersopan santun bukan sahaja dalam pertuturan tetapi juga dalam tingkah laku. Kenaifan seseorang anggota masyarakat dalam soal ini boleh mengakibatkannya dipandang rendah oleh masyarakat. Pengetahuan tentang hal ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan dalam bermasyarakat dan berbahasa. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam masyarakat Melayu menyekat seseorang daripada berbahasa dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota masyarakat Melayu seluruhnya. Unsur ini juga diterima dengan baik oleh seluruh anggota masyarakat kerana melalui unsur tabu inilah, wujudnya suatu peraturan yang berkaitan dengan kesantunan dan keperibadian mulia seseorang. Bertepatan pula dengan masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang dengan nilai-nilai Timur, unsur tabu tidak menjadi bebanan dalam kehidupan harian mereka, justeru menjadi suatu kepentingan dalam kehidupan sehari-hari.