BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 2, 2010

Rumah tangga milik bersama


Walau sesibuk mana  pun anda, berikanlah perhatian sepenuhnya kepada rumah tangga. Hal ini penting agar nanti apabila timbul sebarang masalah, tidaklah anda panik.
Ingat! Jangan sesekali menuding jari menyalahkan orang lain. Namun, ini tidak bermakna yang anda salah. Apa yang boleh dilakukan ialah berbincang bersama-sama untuk  memulihkan keadaan. Terlalu ego “Saya yang banyak keluarkan duit untuk semua perbelanjaan di rumah ni, jadi saya lah yang berhak tentukan segalanya. Awak tak ada kuasa, lebih baik awak diam sahaja.” Perkara seperti ini memang sering terjadi dalam rumah tangga ramai suami isteri. Masing-masing ingin menunjukkan kuasa. Hal ini tidak pernah memberi faedah kepada sesiapa sahaja.
Bermula daripada perselisihan faham yang kecil, keegoan akhirnya boleh menyemarakkan api pertelingkahan menjadi semakin besar seterusnya meruntuhkan mahligai perkahwinan yang  telah dibina dengan susah payah. Oleh yang demikian, seboleh-bolehnya, elakkanlah diri daripada bersikap pentingkan diri sendiri.
Tahukah anda bahawa pasangan anda sebenarnya adalah rakan kongsi anda. Jadi, bersama-samalah bergabung tenaga agar mahligai yang dibina mekar sentiasa. Setelah mendirikan rumah tangga, jangan sesekali anda terlupa untuk mengungkapkan kata-kata manis dan mesra kepada pasangan. Jika masa bercinta dahulu, berkoyan-koyan kata-kata romantis anda hadiahkan pada si dia, tidak salah rasanya kalau sudah ada anak sedozen pun anda masih kekal membisikkan kata-kata romantis itu ke telinganya setiap masa. Kalau inilah yang anda laksanakan dan berjaya, cukup sepuluh tahun berkahwin, lengkaplah pasukan bola sepak anda berdua.
Sedangkan lidah lagi tergigit. Ini pula suami isteri. Bertengkar dan berselisih faham memang adat berumah tangga. Ada sahaja perkara yang dilakukan oleh pasangan yang boleh membuatkan anda marah. Ya, anda berhak untuk marah tapi pastikan marah anda itu berpada-pada. Jangan “over” pula. Lain yang jadinya nanti. Seeloknya, marahlah dengan cara yang profesional. Bukan dengan menjerit atau enyergah sesuka hati. Kalau marah, pilih masa dan tempat yang sesuai untuk diluahkan rasa tidak puas hati itu. Cara ini tidak akan merugikan anda malah menjadikan ikatan perkahwinan lebih erat.
Hubungan erat 
Bercerita tentang erat, perkahwinan ini bukan sahaja dilihat dari segi dalaman sahaja. Bahkan juga dilihat daripada eratnya genggaman tangan antara anda berdua. Kalau dulu ke mana sahaja nak pergi, tangan si dia mesti   digenggam, teruskanlah walaupun usia kini sudah beralih ke peringkat matang. Lagi erat genggaman tangan anda berdua lagi kuat rasa cinta yang akan menyelubungi kehidupan anda berdua. Masa berehat pula, urut-urutlah yang tersayang. Tambah mesra hubungan anda berdua. Masa itu, kalau hendak marah pun tentu tak jadi.

Agar rumah tangga anda sentiasa bahagia, janganlah ada rahsia antara anda berdua. Jika anda ada masalah, ceritakan pada pasangan. Begitu jugalah sebaliknya. Amalkanlah peribahasa lama ini, yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul. Barulah aman rumah tangga yang dibina. Ada orang tinggi, tidak kurang yang rendah. Ada orang cantik dan ada juga yang kurang menarik. Ada yang kaya dan tidak ketinggalan juga ada yang kurang berharta. Walau apa pun keadaannya, semua orang tahu. Manusia memang berbeza. Tidak ada yang sama. Begitu jugalah dengan anda dan pasangan. Belajarlah terima pasangan seadanya. Jangan terlalu meminta ataupun menginginkan sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh si dia. Hal ini hanya akan membina jurang antara anda berdua dan akhirnya jurang tersebut menjahanamkan hubungan anda berdua.
Satu lagi perkara yang sering menjadi punca keruntuhan banyak institusi kekeluargaan ialah faktor kewangan. Membiayai perbelanjaan rumah yang semakin hari semakin meningkat kadang kala  membebankan buat insan yang bergelar suami. Lantaran itu, si isteri turut turun padang untuk membantu. Namun, tidak semua isteri redha dengan apa yang telah mereka lakukan. Akibatnya, mereka rasakan diri seperti dipergunakan. Lebih-lebih lagi setelah penat bekerja, pagi di pejabat dan malam pula di rumah. 
Wahai para isteri, redhalah dengan setiap apa yang anda lakukan. Ingat, niat anda pada mulanya memang baik, bekerja untuk membantu suami. Jadi, apa salahnya jika diteruskan niat yang baik itu. Semua ini bukan untuk orang lain sebaliknya untuk keluarga sendiri. Anggaplah semua yang anda lakukan itu adalah sedekah. Itulah yang sebaik-baiknya.

Ketahuilah bahawa perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dibawa main. Malah, hanya orang yang “kuat” sahaja berjaya mengharungi onak dan durinya. Rumah tangga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang adalah impian semua orang. Agar impian anda terlaksana, berusahalah   sedaya-upaya untuk mencapai hasrat yang murni itu. Semoga anda semua berbahagia dengan keluarga tercinta.

Pautan : http://www.majalahpama.com.my

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails