Berita Penting untuk diketahui
Sistem pendidikan dirombak
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan penekanan diberi kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.
Bagi tujuan itu Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion guru.
Pada masa yang sama beliau memberitahu, tambahan sejumlah RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang.
“Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka (anak-anak) akan disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing,” katanya semasa membentang Bajet 2011, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Najib menegaskan, bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara.
Sehubungan itu katanya, kerajaan menyediakan dana pembangunan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara.
“Bagi mengiktiraf Pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta.
“Manakala, bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik, RM576 juta diperuntukan dalam bentuk biasiswa untuk mereka melanjutkan pengajian,” katanya.
Mengenai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pula, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru asing dari United Kingdom dan Australia.
Sementara itu, Najib menambah, pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata).
“Peruntukan ini antaranya bagi pembinaan Fasa Kedua Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN), membiayai operasi 52 PAPN serta meneruskan program Permata Pintar,” katanya.
Berita baik untuk generasi muda
Skim Rumah Pertamaku bantu golongan muda miliki rumah
KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui skim tersebut, pembeli akan mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti kelaziman sebelum ini.
“Kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah kerana bukan mudah untuk mereka bertatih.
“Skim Rumah Pertamaku akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000,” katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, pembeli rumah pertama juga akan diberikan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik bagi rumah berharga tidak melebihi RM350,000.
Selain itu kata Najib, kerajaan turut mencadangkan pengecualian duti setem juga sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai rumah pertama tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, bagi membantu golongan miskin yang berpendapatan rendah, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM568 juta bagi membina 87,300 unit kediaman.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah tersebut 79,000 unit rumah dibina di bawah Program Perumahan Rakyat, 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah dan 300 unit di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar.
Sementara itu, bagi membantu golongan pekerja estet untuk memiliki rumah pula, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Skim ini terbuka kepada pekerja estet tetap (warganegara) untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus.
“Tempoh pinjaman pula dipanjangkan sehingga 40 tahun dengan pembiayaannya menjangkau sehingga kepada generasi kedua,” jelasnya.