1.0 Pengenalan
Masyarakat Iban merupakan salah sebuah masyarakat yang mempunyai bahasa dan budaya yang sangat unik. Melalui beberapa kajian menunjukkan bahawa bahasa Iban merupakan antara bahasa sekerabat yang paling dekat dengan Bahasa Melayu. Bahasa Iban juga kaya dengan kosa kata dan terdapat pelbagai keunikan yang mampu menarik minat pengkaji bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah pensyarah juga. Buktinya, terdapat pelbagai jenis kajian telah dilakukan terhadap bahasa ini dan beberapa buah buku telah dihasilkan. Namun begitu, masih terdapat banyak kekurangan yang tidak dapat dirungkai oleh pengkaji tentang bahasa ini, terutamanya berkaitan dengan ilmu makna iaitu tentang bahasa pemali atau tabu dan juga eufemisme dalam masyarakat ini, terutamanya golongan petani yang mengusahakan pertanian sara diri. Oleh demikian kajian yang dijalankan berkaitan dengan bahasa tabu atau pemali dan juga eufemisme dalam masyarakat petani Iban di Sarawak.
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk berkongsi dengan masyarakat yang lain tentang bahasa pemali dan eufemisme dalam bahasa Iban terutamanya tentang aktiviti pertanian. Ramai masyarakat tidak tahu tentang bahasa tabu dan eufemisme di dalam bahasa Iban meskipun ada sesetengahnya pandai menuturkan bahasa Iban. Oleh itu, dengan kehadiran kajian yang telah dilakukan ini diharap masyarakat lain dapat menambahkan maklumat dan pengetahuan tentang bahasa dan budaya masyarakat iban di Sarawak. Di samping dapat memahami serba sedikit tentang kepercayaan masyarakat petani Iban di Sarawak yang menjalankan aktiviti pertanian sara diri.
Bagi mendapatkan maklumat tentang bahasa tabu dan eufemisme ini cara talian telah digunakan dalam kajian ini. Cara talian ialah menggunakan laman web untuk menngumpulkan maklumat dan data. Di samping itu juga, sumber maklumat yang dikumpul diperolehi daripada kaedah temu ramah dengan orang tua-orang tua petani Iban yang mengamalkan sistem pertanian sara diri, yang tinggal di pedalaman Sarikei, Sarawak.
1.0 Isi dan Perbincangan
Dalam masyarakat Iban di Sarawak terdapat banyak perkataan tabu di dalam kehidupan termasuk di dalam kerja seharian. Meskipun begitu, ada sesetengah masyarakat Iban tidak memahaminya meskipun telah mengamalkannya dalam kehidupan seharian hingga ke hari ini. Walaupun terdapat banyak perubahan yang berlaku seiring dengan permodenan pada masa kini, namun perkataan tabu ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Perkataan tabu ini disebut pemali di dalam bahasa Iban di Sarawak, dan perkataan yang dianggap eufemisme dikenal sebagai Jaku Kelaung atau Jaku Sempama.
Tabu bermaksud perkataan yang tabu berasal dari kata taboo yang dipungut dari bahasa Tonga, salah satu bahasa dari rumpun bahasa Polinesia. Dalam masyarakat Tonga kata taboo merujuk pada tindakan yang dilarang atau yang harus dihindari. Bila tindakannya saja dilarang, maka bahasa/kata-kata yang merupakan simbol dari tindakan itu pun dilarang. Tabu ialah kata-kata yang tidak boleh digunakan, setidak-tidaknya tidak dipakai di tengah masyarakat yang beradab atau yang memiliki sesuatu kepercayaan tertentu yang harus diamalkan atau dipatuhi bergantung pada pandangan dan nilai yang dianut masyarakat bahasa serta tradisi kebudayaan setempat. (http://tiennymakrus.blog.friendster.com/)
Kata tabu seperti yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud “sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali atau yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan”. Apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan. (Kamus Dewan, Edisi Keempat, 2007 : 1563)
Eufemisme pula berasal dari istilah euphemism; yang berarti kata atau frase yang menggantikan satu kata tabu, atau yang digunakan sebagai upaya menghindari hal-hal yang menakutkan dan kurang menyenangkan. Kata eufemisme juga dianggap pemakaian kata atau bentuk lain untuk menghindari larangan atau tabu. ( http://tiennymakrus.blog.friendster.com/ )
Masyarakat petani Iban di Sarawak merupakan masyarakat yang mengamalkna pertanian penanaman padi bukit. Namun aktiviti pertanian ini bersifat sara diri dan dilakukan secara bergotong royong atau dikenali beduruk dalam bahasa Iban yang bermaksud berbalas-balas semasa melakukan kerja pertanian antara penduduk dalam rumah panjang. Satu kelurga akan berkerjasama dengan keluarga yang lain dan saling membalas antara keluarga untuk mempermudahkan kerja pertanian tersebut di samping merapatkan lagi hubungan antara penduduk kampung. Semasa aktiviti pertanian ini dijalankan banyak perkataan dianggap tabu yang tidak boleh digunakan oleh golongan petani untuk mengelakan kecelakaan dan kemudaratan serta kerosakan hasil pertanian. Oleh yang demikian wajar untuk menghindari penggunaan kata tabu tersebut.
Masyarakat petani Iban sangat percaya akan roh dan semangat yang jahat sentiasa dekat dengan kehidupan manusia dan sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan kehidupan manusia dan merosakkan apa sahaja yang dimiliki oleh manusia. Bagi masyarakat petani Iban di Sarawak, pekara yang dianggap tabu digantikan dengan perkataan atau frasa alternatif yang dianggap tidak difahami oleh semangat atau roh jahat tersebut. Perkataan ini disebut jaku kelaung atau jaku silup dalam masyarakat petani Iban di Sarawak. Dipercayai bahawa pernah berlaku peristiwa yang menimpa orang yang melangggar bahasa tabu terhadap orang-orang Iban dahulu kerana bagi mereka hantu merupakan lawan bagi roh yang jahat dan juga penolong bagi roh yang baik. Perkataan tabu ini masih diamalkan dan diwarisi secara turun temurun selagi masyarakat Iban masih menjalankan aktiviti pertanian dan melakukan aktiviti lain yang berkaitan dengan hutan.
Selepas aktiviti penanaman biji benih dan pembajaan tanaman dilakukan, masyarakat petani Iban ini biasanya akan berehat dan menunggu padi masak namun sekali-sekala kawasan penanaman akan dilawat beberapa kali. Adakalanya mereka akan melakukan aktiviti lain seperti berikan, menorah getah dan sebagainya untuk mengisi masa lapang tersebut. Semasa melawat kawasan tanaman tersebut masyarakat petani Iban tidak boleh menyebut secara terus bahawa tanaman mereka subur dan baik-baik sahaja. Mereka biasanya akan menyebut berandau ke pemanah nyumbuh atau kera yang bermaksud berbual tentang kebaikan kera dan monyet. Namun, maksud yang ingin disampaikan adalah sebalik nya iaitu memberitahu tentang padi yang subur dan tidak dirosakkan oleh binatang buas. Hal ini bertujuan supaya hantu atau semangat yang jahat tidak mendengardan tidak memahami maksud tersebut. Sekiranya hantu tersebut mendengar bahawa padi manusia baik-baik sahaja, maka akan timbul perasaan dengki dan dia berusaha merosakkan tanaman tersebut dengan memanggil binatang buas untuk merosakkan tanaman padi tersebut. Oleh itu adalah tabu sekiranya menyebut secara terus tentang tanaman padi yang subur dan baik-baik sahaja . Contoh pemakaian kata eufemisme tersebut ialah, “sida apai Igat benung berandau ke pemanah nyumbuh bekau ke udah ngabas umai kemari”, bermaksud ayah Igat dan yang lain-lain sedang berbual tentang kebaikkan monyet atau kera selepas pergi ke kawasan penanaman padi semalam. Makna sebenar yang ingin disampaikan ialah ayah Igat dan yang lain-lainnya sedang berbual tentang kesuburan tanaman atau padi selepas melihat kawasan penanaman padi semalam.
Masyarakat Iban di Sarawak lebih banyak bahasa pemali atau perkataan tabu semasa aktiviti menuai dijalankan berbanding dengan aktiviti lain yang berkaitan dengan penanaman padi. Semasa aktiviti menuai dijalankan, terdapat banyak perkataan tabu yang tidak boleh digunakan untuk mengelakkan pekara buruk berlaku atau malaprtaka berlaku. Sebelum memulakan aktiviti penuaian atau pemilihan biji padi, masyarakat petani Iban akan melakukan pekara-pekara tertentu yang dianggap penting, antaranya seperti melakukan ikatan atau disebut tanchang dalam bahasa Iban pada permulaan aktiviti penuaian. Namun begitu, perkataan tanchang ini tidak boleh disebut secara terus. Perkataan alternatif digunakan untuk menggantikan perkataan ini iaitu temeku bermaksud melipat dalam bahasa Melayu. Perkataan ini dianggap tabu kerana masyarakt Iban percaya bahawa pennggunaan perkataan tersebut secara terus akan menyebabkan beras cepat kehabisan kerana dianggap golongan hantu jahat akan menyertai manusia makan.
Dalam pemilihan biji padi yang telah masak dengan yang masih hijau, iaitu aktiviti permulaan menuai bagi masyarakat petani Iban, pemilihan biji padi yang telah masak tidak boleh menggunakan frasa memilih padi yang masak tetapi disebut nyumba sintung. Sintung merupakan peralatan seperti bakul namun lebih besar dan diperbuatan daripada rotan dan dianyam sendiri oleh pemiliknya. Nyumba sintung merupakan perkataan yang digunakan untuk menggantikan penggunaan frasa memilih biji padi yang telah masak. Hal ini bukanlah untuk memperkatakan peralatan tersebut sebaliknya perbuatan yang dilakukan meskipun makna yang diutarakan jauh menyimpang dari leksikal yang digunakan dan tidak mengambarkan maksud yang ingin disampaikan atau diperkatakan. Contoh penggunaannya, “Kemaya kita nyumba sintung waey?”, Maksudnya, “Bila kamu memilih biji padi yang telah masak?’. Seperti juga penggunaan kata ikatan di atas atau temuku(tanchang), frasa ini dianggap tabu kerana bimbang hantu yang jahat akan mempercepatkan kehabisan beras pada masa akan datang.
Selain itu semasa aktiviti penuaian dijalankan, masyarakat Iban tidak boleh menyebut perkataan sintung sudah penuh meskipun pada hakikatnya begitu, sebaliknya masyarakat iban akan menyebutnya sintung telah merua. Merua bermaksud melimpah atau meruap jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Perkataan ini tidak boleh digunakan untuk mengelakkan sintung tidak mampu penuh ataupun beras akan habis dengan cepat kerana sumpahan hantu jahat. Oleh demikian, perkataan penuh dianggap tabu semasa memperkatakan sintung itu telah penuh dan sebagai alternatif digantikan dengan perkataan merua. Contoh penggunaanya, “Apai peda nuan, sintung nuan nyau merua”, bermaksud “ayah cuba ayat lihat, bakul ayah sudah meruap”. Maknaya, memperkatakan tentang bakul atau sintung ayahnya yang telah penuh.
Di samping itu, semasa tiba musim menuai iaitu biasanya dilakukan pada bulan Mac atau bulan April masyarakat petani Iban tidak menyebut akan menuai padi atau ngetau kerana dianggap tabu menyebut perkataan menuai secara terus. Sebaliknya, masyarakat ini menggunakan perkataan ngambi buah rumput yang bermaksud mengambil atau mengutip buah rumput. Hal ini juga bertujuan supaya beras tidak cepat habis dan supaya hantu yang jahat tidak memanggil binatang buas seperti kera, babi, landak dan sebagainya untuk merosakkan tanaman mereka. Oleh itu digunakan frasa tersebut meskipun maksudnya jauh menyimpang dari aktiviti yang ingin dilakukan dan tidak menggambarkan aktiviti yang dilakukan. Contoh penggunaannya, “Kemaya kita ngambi buah rumput?”, bermaksud “bilakah kamu mengutip buah rumput”, makna yang sebenar yang ingin disampaikan adalah bertanya tentang waktu penuaian yang ingin dijalankan.
Selain itu juga makan juga ada tabunya bergantung pada tempat dan situasi makan itu dijalankan. Biasanya tabu untuk perkataan makan atau makai di dalam bahasa iban apabila berada di hutan, diluar rumah ataupun di kawasan penanaman padi. Biasanya orang iban tidak akan menyebut perkataan tersebut secara terang-terangan sebaliknya digunakan perkataan alternatif untuk mengantikan perkataan makan tersebut. Perkataan makan atau makai ini disebut matah ke lengan, melekuka jari, merarau, dan juga engkima. Engkima pula merupakan bahasa songsang yang digunakan oleh masyarakat Iban kuno yang melibatkan orang-orang lama dan jarang digunakan. (http://dayakibanworld.wordpress.com/, http://forum.engkabang.net)
Selain itu juga, perkataan ini dianggap tabu sekiranya digunakan secara terus di tanah ataupun dihutan kerana sekiranya menyebut secara terus bahawa hendak makan akan menyebabkan kempunan. Apabila berkata bahawa mereka lapar dan ingin makan, tetapi tidak terus makan akan menyebabkan mereka kempunan. Apabila berlaku konsep kempunan akan membawa kecelakaan seperti dipatuk ular atau mendapat gangguan hantu jahat dan sebagainya. Oleh yang demikian dianggap tabu menyebut perkataan makan secara terus semasa di tanah atau di hutan. Namun begitu, sekiranya perkataan ini digunakan hendaklah seseorang atau sekumpulan golongan petani yang melakukan aktiviti di tanah atau dihutan terus makan dan jangan bertangguh untuk menggelakkan mereka daripada kempunan dan seterusnya akan membawa kemudaratan kepada mereka.
Namun begitu, adakalanya perkataan makan atau makai itu dianggap tabu semasa ingin makan di rumah bagi sesetengah masyarakat Iban yang masih tidak memiliki agama ataupun mengamalkan agama animisme. Biasanya masyarakat ini akan menggunakan perkataan merarau untuk mengantikan perkataan makai atau makan sekiranya aktiviti makan itu berlangsung dirumah namun ia hanya digunakan pada waktu tengah hari sahaja. Ini bermaksud penggunaan merarau ini hanya merujuk kepada perlakuan makan pada waktu tengah hari sahaja. ( http://dayakibanworld.wordpress.com)
Selain itu dalam bentuk pertanyaan ayat songsang akan digunakan sekiranya ingin bertanya tentang peristiwa makan kepada yang diajak berbicara sebagai kata eufemisme untuk mengantikan perkataan tabu. Namun perkataan ini melibatkan sebaris ayat penuh, contohnya, “dauh engkima anun awey?”, jika disusun dengan betul ayatnya ialah, “udah makai nuan waey?”. Ayat ini bermaksud “sudah makan kamu?” Waey itu hanyalah nama panggilan yang menunjukkan keakraban seperti antara sahabat atau rakan sebaya untuk mengantikan nama yang diajak berbicara. Penggunaan frasa songsang tersebut juga bertujuan mengelakkan hantu mengerti maksud yang ingin disampaikan dan akan menyebabkan hantu tersebut mendatangkan kecelakaan atau kemudaratan kepada pembicara atau yang diajak berbicara. Sekiranya kedua-dua pihak belum makan akan menyebabkan hantu berkongsi makanan dengan mereka sekiranya mereka makan selepas berlangsungnya peristiwa perbualan tersebut. Oleh itu perkataan makan tidak boleh disebut secara terus.
Selain dalam aktiviti pertanian, masyarakat petani Iban sangat menjaga semua aspek yang berkaitan dengan ibu dan anak yang masih kecil atau bayi. Dalam masyarakat Iban, mereka percaya bahawa hantu sangat suka mengganggu ibu dan anak yang masih kecil dan adakalanya akan membawa maut. Pernah berlaku bahawa terdapat gangguan hantu terhadap ibu yang melahirkan bayi sehingga menyebabkan bayi meninggal. Gangguan ini sama ada dapat dilihat atau didengar seperti bunyi yang yang diangggap dikeluarkan oleh roh jahat tau hantu jahat yang cuba menganggu ibu dan bayi tersebut. Oleh demikian, sebelum melahirkan anak semau lampu akan dinyalakan di sekeliling rumah dan bomoh diundang untuk menjaga keselamtan ibu dan bayi yang bakal dilahirkan. Perkataan yang berkaitan kelahiran, bayi dan yang seangkatan dengannya tidak boleh disebut sama sekali. Hal ini menyebabkan masyarakat Iban sangat mengambil berat akan prihal yang berkaitan dengan ibu dan anak, lebih-lebih lagi anak kecil yang belum mengerti tentang kehidupan. Bagi masyarakat Iban, anak kecil perlu diberi perhatian lebih dan harus dijaga rapi supaya dijauhkan daripada sebarang kecelakaan atau kesusahan yang dilakukan oleh hantu jahat atau roh atau semangat jahat.
Adakalanya pekara yang dianggap tidak logik pada masa kini, dianggap tabu, iaitu berkaitan hal yang remeh temeh sebenarnya sangat dipentingkan masyarakat Iban. Sekecil-kecil pekara itu mampu mendatangkan malapetaka buruk yang mampu menghancurkan segala kegembiraan dan keharmonian manusia. Oleh itu pekara yang dianggap tabu amatlah dihindari daripada disebut untuk mengelakkan pekara buruk berlaku. Dalam masyarakat Iban, sekiranya mereka ingin memperkatakan tentang bayi yang sihat, gemuk, cantik, dan sebagainya yang berkaitan tidak boleh disebut secara terus. Masyarakat Iban akan menggunakan perkataan jai yang bermaksud buruk dalam bahasa Melayu. Contohnya jika seseorang ingin memuji kecantikan atau ketampanan anak kepada yang diajak berbicara akan berkata, “Jai amat gamal anak nuan endu”, yang bermaksud “buruk benar muka anak kamu”. Jika dinilai perkataan ini amat bertentangan dengan maksud yang ingin disampaikan. Hal ini menandakan masyarakat Iban perlu merendah diri untuk mengelakkan kecelakaan pada anak itu dan tidak boleh meninggi diri meskipun pekara itu benar berkaitan dengan pekara yang dibicarakan. (http://dayakibanworld.wordpress.com/)
Selain itu juga, untuk menilai paras rupa juga tidak boleh disebut secara terus untuk golongan kanak-kanak. Meskipun jika dilihat sangat kacak ataupun cantik. Perkataan cantik ataupun kacak diangggap tabu dan tidak boleh digunakan secara terus. Bagi memperkatakan bahawa anak itu kacak atau cantik digunakan perkataan sigat anak chauk sebagai kata eufemisme. Anak chauk merupakan sejenis binatang yang comel. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan didengar oleh hantu jahat dan seterusnya akan membawa malapetaka atau kecelakaan kepada anak kecik atau budak tersebut. Oleh itu, perkataan yang berkaitan dengan binatang yang hampir serupa dengan kecantikan dan kesempurnaan manusia akan digunakan agar hantu tidak memahami maksud yang disampaikan di samping menjaga kesejahteraan kanak-kanak tersebut. Contohnya penggunaanya, “anak mit nya sigat anak chauk” yang bermaksud budak ini kacak atau cantik. (http://forum.engkabang.net)
Selain itu, dalam masyarakat Iban terdapat perkataan tabu untuk memperkatakan tentang seseorang anak kecil ataupun bayi yang baru lahir. Bayi yang baru lahir tidak boleh disebut secara terus. Bayi yang baru lahir dikenali sebagai anak ulat. Anak ulat ini sendiri menggambarkan bahawa kekecilan dan sangat lembut. Mungkin secara nyata hal ini agak tidak logik namun jika dilihat dari segi makna dan sifat-sifatnya ada kaitan antara anak ulat dengan anak yang baru lahir. Perkataan anak yang baru lahir dianggap tabu untuk menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan bayi tersebut dari gangguan hantu jahat atau roh jahat yang suka akan anak yang baru lahir. Lagipun bayi yang baru lahir memerlukan perhatian yang lebih dan mudah mendapat penyakit dan gangguan. Contohnya, “kami baru pulai ari rumah Dom, meda anak ulat Dom tadi”, maksudnya “kami baru balik dari rumah Dom, menjengok anak Dom yang baru lahir”. (http://forum.engkabang.net)
Di samping itu juga, terdapat perkataan tabu bagi memperkatakan tentang berat kanak-kanak. Sekiranya berat kanak-kanak itu sangat berat tidak boleh sebut secara terus perkataan berat itu. Sebaliknya, jika berat kanak-kanak itu ringan sahaja boleh digunakan secara terus perkataan ringan yang menunjukkan berat tersebut. Perkataan alternatif yang yang digunakan untuk menggantikan perkataan berat ialah pait atau bermaksud pahit dalam bahasa Melayu. Biasanya mereka akan menyebut “ Pait amat anak nuan” yang bermaksud “berat sangat anak kamu” atau “anak kamu berat sangat”. Meskipun pait itu berkaitan rasa namun digunakan perkataan ini untuk menunjukkan kesukaran untuk mengangkat budak atau kanak-kanak yang dimaksudkan. Leksikal yang digunakan jauh menyimpang dari makna dan tidak mengambarkan tentang sifat-sifat yang ingin ditonjoklan. Namun itulah yang telah dipersetujui oleh masyarakat Iban untuk memperkatakan tentang berat kanak-kanak dan semua akan faham bahawa pait itu menunjukkan bahawa kanak-kanak tersebut memiliki berat badan yang sangat berat. Hal ini dianggap tabu kerana bimbang roh jahat atau hantu jahat datangkan penyakit atau gangguan kepada budak tersebut. Hal ini sangat diyakini dan dipercayai oleh masyarakat Iban sehingga ke hari ini.
2.0 Kesimpulan
Kesimpulanya, masyarakat petani Iban sangat berpegang teguh pada kepercayaan dan adat yang telah lama dipraktikan dan dipercayai benar-benar terjadi di dalam kehidupan meskipun dalam dunia moden pada masa kini. Berdasarkan kajian yang dijalankan masyarakat petani Iban lebih banyak kepercayaan yang menghasilkan perkataan tabu dan eufemisme semasa musim menuai. Selain itu juga, masyarakat Petani Iban juga sangat menitik beratkan soal bayi dan budak kecil, sehingga tabu menggunakan perkataan bayi atau budak kecil dan juga tentang sifat kanak-kanak. Oleh yang demikian diharap kajian dan maklumat yang dipaparkan dalam kajian ini dapat membantu masyarakat lain memahami dan mengetahui sedikit sebanyak tentang bahasa dan gaya hidup masyarakat petani Iban khasnya. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam masyarakat menyekat seseorang daripada berbahasa dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota masyarakat seluruhnya.
0 ulasan:
Post a Comment