BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, July 18, 2010







Sengat tebuan rawat penyakit
Bagi individu yang ingin mencuba alternatif perubatan moden, homeopati mungkin satu pilihan yang baik. Perubatan homeopati dikatakan mampu menguatkan daya tahan tubuh untuk melawan penyakit sekali gus menyembuhkan penyakit yang dihidapi sehingga ke akar umbi.
Homeopati merupakan rawatan holistik yang memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakit yang dihidapi.
Menurut pakar homeopati, Dr. Nik Fairuz Nik Omar yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, kelebihan rawatan homeopati ialah ubat-ubatan yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik dan dadah.
Ini secara tidak langsung menjadikan rawatan itu lebih selamat dan boleh diambil oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur.
Ujarnya, ubat-ubatan yang digunakan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, garam galian, haiwan dan sel-sel terpilih.
"Antara tumbuh-tumbuhan yang digunakan ialah bawang putih, bawang merah, bunga matahari dan lada hitam.
Sotong
"Bagi garam galian pula ia terdiri daripada kapur, magnesium, sulfur dan sebagainya.
"Ubatan bersumberkan haiwan pula ialah dakwat sotong, sengat tebuan, labah-labah dan bisa ular yang mampu merawat penyakit tertentu," katanya sambil menambah, kini perubatan itu juga menggunakan kuasa solar dan laser.
Jelas Nik Fairuz, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan mengenal pasti simptom penyakit iaitu simptom fizikal dan mental.
"Simptom berbentuk fizikal membolehkan penyakit dikenal pasti secara jelas seperti lebam atau kemerah-merahan, bengkak dan mata merah.
"Untuk mental pula, rasa sakit yang mereka alami dan bagaimana mereka menanganinya," ujarnya.
Nik Fairuz memberitahu, semasa merawat pesakit, beliau akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu berdasarkan bentuk tubuh, kelakuan dan emosi mereka sebelum memilih penawar mengikut simptom yang wujud.
"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor memilih penawarnya," katanya.
Ini sekali gus merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud secara semula jadi di dalam badan manusia.
Tenaga itu menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem peredaran darah, sistem hormon serta saraf.

"Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan saraf, pinggang, kencing manis, migrain dan demam.
"Tempoh untuk pesakit pulih pula bergantung pada keadaan pesakit selain mengambil ubat mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.
Murah
Sementara itu, seorang lagi pakar homeopati, Dr. Azman Mohamad memberitahu, rawatan homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif bagi mereka yang ingin beralih daripada perubatan moden.
Beliau yang mengusahakan klinik rawatan homeopati selama lebih 10 tahun di Ipoh, Perak mendakwa rawatan tersebut bukan merawat pesakit tetapi membantu memulihkan sistem tubuh seseorang supaya dapat berfungsi dengan lebih optimum.
Ujarnya lagi, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan membuang racun-racun toksik dalam tubuh serta memulihkan fungsi organ seperti buah pinggang, hati dan jantung supaya kembali normal selepas lama terdedah kepada asap kenderaan, rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat.
Katanya, semua ini secara tidak langsung meningkatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.
"Homeopati merawat pesakit yang mengalami penyakit yang paling ringan seperti demam dan juga yang paling kronik seperti penyakit ketumbuhan dalam otak dan kanser rahim.
"Saya berpengalaman merawat penyakit batu hempedu dan buah pinggang hanya dengan pembedahan kecil tanpa menggunakan laser. Proses rawatan itu hanya mengambil masa tidak sampai 24 jam," katanya.
Katanya lagi, harga ubat-ubatan homeopati juga tidak semahal mana iaitu di antara RM30 hingga RM50 dan boleh digunakan sehingga dua bulan.
"Namun, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa membantu merawat seorang pesakit wanita yang menderita kanser serviks yang dikatakan tidak dapat disembuhkan.
"Syukur dia pulih semula selepas rawatan selama tiga bulan dan hidup sampai sekarang. Namun, semua ini adalah ketentuan Allah, bukan saya," ujarnya.

Related Posts with Thumbnails