BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, October 5, 2010

Mengatasi Kelemahan Terjemahan Sari Kata

Bagaimanakah perasaannya apabila ke pawagam menonton filem yang mengerikan seperti pembunuhan bersiri, kisah yang sepatutnya mendebarkan itu tiba-tiba menjadi bahan jenaka dan gurauan sepanjang tiga jam filem tersebut ditayangkan?

Mana tidaknya, perkataan "serial killer" apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menjadi "pembunuh bijirin" (cereal killer).

Mungkin kesilapan di awal cerita membuatkan penonton terus melekat di kerusi. Namun, apabila kesilapan yang sama diulang-ulang hingga ke akhir cerita, sahlah si penterjemah sebenarnya khilaf tentang bahasa.

Di waktu yang lain pula, sedang enak-enak menonton televisyen di rumah drama tentang adegan tembak-menembak, pecah berderai ketawa apabila perkataan "fire" diterjemah menjadi "api".

Senario tersebut seolah-olah telah meletakkan penterjemahan di kategori kedua. Memandangkan visual lebih penting dan memberi kesan dalam menyampaikan maksud, terjemahan sari kata seolah-olah diabaikan.

Walaupun sebenarnya sari kata dapat membantu penonton memahami dan menghayati cerita yang ditonton dengan lebih baik.

SENARIO PENTERJEMAHAN SARI KATA

Menurut Pengerusi Rancangan Bahagian Bahasa Melayu Terjemahan dan Interpretasi di Pusat Pengajian Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Dr Hasuria Che Omar, penterjemahan audiovisual di Malaysia telah berkembang dan jika dilihat, kualiti terjemahan sari kata pada filem, rancangan televisyen, dan cakera padat video (vcd) sebenarnya semakin baik kebelakangan ini.

"Beberapa tahun lalu agak teruk mungkin disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah mereka mengambil penyari kata yang tidak terlatih. Ada juga penyari kata yang tidak begitu memahami bahasa sasaran dan tidak berpengetahuan di dalam bahasa tersebut.

"Terdapat juga simpulan bahasa yang berbentuk figuratif dan sebagainya yang menimbulkan masalah kerana tidak dapat diterjemah secara langsung.

Di sinilah kepakaran dan kemahiran penyari kata penting untuk menjadikan maksud yang hendak dinyatakan itu sampai kepada penonton," jelas Dr Hasuria.

KESILAPAN KETARA

Menurut Dr Hasuria, kesalahan yang sering dilihat ialah sari kata daripada bahasa Cina (Mandarin, Kantonis) ke bahasa Melayu. Misalnya penyari kata tidak dapat membezakan di antara penggunaan kata "saya" dan "aku" serta "kami" dan "kita".

Perkara sebegini sering terjadi apabila penterjemah bukanlah penutur natif di dalam bahasa sasaran.

Namun Dr Hasuria memuji stesen RTM dan juga TV3 yang telah banyak melakukan perubahan dalam penterjemahan sari kata.

"Faktor ini mungkin disebabkan mereka telah melatih pekerja dalaman serta mereka yang benar-benar berkelayakan di dalam bidang penterjemahan.

Manakala mutu terjemahan di pawagam pula masih berada di tahap yang tidak memuaskan. Seolah-olah tugasan terjemahan dilakukan atas konsep "asal ada", tambah beliau.

KEPENTINGAN SARI KATA

Melalui kajian beliau yang telah dibukukan berjudul Penterjemahan Audiovisual Televisyen di bawah Penerbit UKM, Dr Hasuria turut menjelaskan kebanyakan rancangan televisyen merupakan rancangan terbitan tempatan dan juga rancangan yang diimport dari luar negara.

Antara yang popular tentulah siri-siri Korea seperti Love in Heaven dan Winter Sonata, soap opera Latin seperti Rebecca, Rosalinda dan Betty La Soy serta drama bersiri Filipina Pangako Sayo.

Manakala rancangan-rancangan drama dan dokumentari yang melibatkan istilah-istilah teknikal seperti Grey's Anatomy, CSI, National Geographic dan juga Animal Planet amat memerlukan sari kata bagi memudahkan pemahaman penonton yang bukan pakar dalam bidang berkenaan.

Kebanyakan program yang diimport ini menggunakan bahasa Inggeris ataupun bahasa-bahasa lain.

Justeru, apabila elemen-elemen kebahasaan dalam program televisyen yang diimport didapati menjadi halangan kepada komunikasi, maka alternatif untuk menyelesaikan halangan kepada masalah ini adalah dengan penterjemahan atau pemindahan bahasa.

Malahan di TV3, bagi program berbahasa Melayu sendiri, sari kata di dalam bahasa Inggeris turut diberikan. Selain memberi kepuasan kepada penonton, sari kata juga dapat membantu mereka mempertingkatkan kemahiran berbahasa.

PENTERJEMAH YANG LAYAK

Menterjemah bukanlah satu perkara yang boleh dianggap enteng. Bagi yang pernah terlibat dalam industri ini mereka tentunya faham betapa pentingnya ilmu penterjemahan.

Tidak semua individu mampu menterjemah dengan baik walaupun mereka menguasai lebih daripada satu bahasa.

"Sebenarnya, keberkesanan sari kata yang dihasilkan seringkali disokong oleh tahap keintelektualan penyari kata, pengetahuan mereka tentang bahan cerita, pengetahuan am, kemahiran membuat rujukan, kebiasaan dengan budaya asing dan kecekapan berbahasa.

"Bagi mempertingkatkan mutu penterjemahan sari kata di negara ini, pihak stesen TV awam dan swasta, syarikat-syarikat posproduksi, pengedar dan pengeluar filem, firma pengiklanan dan komunikasi perlu meletakkan tanggungjawab mereka sebagai pendukung bahasa.

"Ini penting supaya tidaklah nanti kredibiliti mereka diragui dan diketawakan," jelasnya kepada Bernama.

Ada di antara stesen televisyen dan juga syarikat filem yang mengupah penterjemah yang tidak mempunyai kelayakan. Hasilnya adalah terjemahan yang seadanya atau terjemahan yang tidak tepat.

Menurut Dr Hasuria, ada juga cadangan yang meminta golongan profesional khususnya pakar dalam bidang ini turut melibatkan diri dalam penghasilan sari kata terjemahan yang lebih tepat terutamanya yang melibatkan teknikal dan istilah.

"Antara yang perlu dilakukan ialah melihat perbandingan hasil kerja oleh penyari kata profesional dengan penyari kata yang bertanggungjawab terhadap filem atau VCD yang diimport, yang tidak melalui penapisan oleh Finas," cadang beliau.

Malah beliau turut mencadangkan supaya diambil pemegang-pemegang ijazah dalam bidang penterjemahan sebagai petugas tetap.

PERANAN PERSATUAN PENTERJEMAH

Sebagai Pengarah Program Kursus di Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dr Hasuria turut menyatakan kesediaan persatuan mengadakan kursus dan bengkel jangka pendek kepada mana-mana stesen televisyen atau syarikat yang terlibat di dalam industri berkenaan.

Antara yang pernah diadakan ialah bengkel penterjemahan sari kata, menyunting sari kata dan menangani elemen bahasa, teknik-teknik dan sebagainya.

Malah, badan induk yang bertanggungjawab ke atas perkembangan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengadakan hadiah galakan penulis sari kata untuk televisyen.

Malangnya, ada di antara stesen televisyen yang gagal menghantar calonnya. Kegagalan ini turut menimbulkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai penulis sari kata yang berkualiti atau selama ini tugasan tersebut diserahkan kepada penterjemah luar?

Bagaimanapun, usaha DBP ini patut dipuji kerana objektif utamanya adalah untuk mempertingkatkan kualiti penterjemahan sari kata di Malaysia.

Secara keseluruhannya, bukan semua penterjemahan sari kata di Malaysia ini lemah, tetapi ada kes-kes terasing yang menyebabkannya begitu ketara.

Apatah lagi penterjemahan audiovisual pada prinsipnya hanyalah 60 peratus sahaja, emosi dan maklumat utama adalah visualnya manakala sari kata sebagai bahan bantu.

Walaupun media dikecualikan dalam keadaan-keadaan tertentu menggunakan bahasa yang baku, namun dalam masa yang sama, mereka juga bertanggungjawab menghasilkan terjemahan sari kata yang tepat serta mengajar audien mencintai bahasa.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails