BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, October 5, 2010

Masalah bahasa dalam penterjemahan filem

Apabila  bercakap tentang isu memperkasakan bahasa Melayu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini, sepatutnya semua pihak harus memainkan peranan mereka bagi menjayakan matlamat murni tersebut.
Tanggungjawab itu bukan setakat terletak di atas bahu Ahli-Ahli Jawatankuasa Istilah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata, tetapi ia juga misalnya meliputi para penggiat bidang perfileman dan drama televisyen (TV) tanah air.
Ini kerana, dua medium itu juga mempunyai peranan yang cukup besar dalam menyebarluaskan penggunaan perkataan dan istilah-istilah tertentu yang betul dalam bahasa Melayu kepada para penonton.
Peranan itu amat penting kerana pengaruh penggunaan bahasa daripada filem serta drama boleh menjadi ikutan kepada para penonton di mana ia akan diwarisi oleh generasi pada masa akan datang.
Tetapi sayangnya terdapat segelintir penerbit, pengarah dan penulis skrip kita yang kurang menitikberatkan soal penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk diketengahkan menerusi karya-karya yang mereka hasilkan.
Dalam hal ini, para karyawan filem dan drama TV kita secara tidak langsung turut mengalami kemandulan minda apabila mereka tidak memperlihatkan sikap untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara mereka sendiri.
Fenomena itu dapat dilihat apabila ada penerbit yang menggunakan judul filem Melayu dalam bahasa Inggeris seperti filem I Know What You Did Last Raya, Cicak-Man dan I’m Not Single.
Kita tidak tahu di manakah rasionalnya penggunaan judul filem dalam bahasa Inggeris sedangkan hampir 99 peratus dialog yang dituturkan adalah dalam bahasa Melayu.
Atau mungkinkah penggunaan judul filem dalam bahasa Inggeris boleh memberi impak dan tarikan yang besar kepada para penonton di negara ini?
Walhal, sebelum ini pun banyak filem yang menggunakan judul dalam bahasa Melayu seperti Jangan Pandang Belakang tetapi masih juga berjaya mengaut kutipan tiket hingga RM7.5 juta dan mendapat sambutan di luar negara.
Selain itu, penggunaan bahasa rojak atau bahasa Inggeris yang dimelayukan juga banyak diselitkan dalam dialog-dialog sama ada menerusi filem ataupun drama TV.
Sebagai contohnya, perkataan otai yang dipetik daripada gabungan perkataan bahasa Inggeris old timer yang turut dijadikan judul dalam sebuah filem Melayu berjudul Otai.
Bahasa rojak dan bahasa Inggeris yang diguna pakai menerusi judul filem-filem Melayu boleh memberi kesan daripada sudut jati diri serta keaslian karya-karya seni tempatan itu sendiri.
Penggunaan bahasa rojak dalam filem misalnya, pernah disuarakan oleh Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Abu Hassan Hasbullah pada Kongres Sebudaya Serumpun yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, satu kajian telah dijalankan ke atas filem-filem Melayu yang diterbitkan mulai tahun 1978 hingga 1990-an mendapati kebanyakan dialog yang dituturkan tidak menepati nahu dan bahasa yang betul.
Justeru, soal memperkasakan bahasa Melayu merupakan isu penting yang harus dipantau dari semasa ke semasa kerana ketika ini negara berdepan dengan pelbagai cabaran globalisasi yang sedang berlaku.
Kita tentunya tidak mahu medium perfileman dan drama TV yang semakin berkembang pesat sejak kebelakangan ini menjadi ejen perosak dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Sebab itu, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di semua peringkat termasuklah menerusi medium perfileman dan drama TV juga haruslah diteruskan supaya bahasa ini boleh dijiwai oleh para penonton yang berbilang bangsa di negara ini.
web  berkaitan : http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=1374&IID=&PHPSESSID=5fa36388617cc2ca192053014ffd5ce8

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails