Placenta praevia boleh ragut nyawa
Pendarahan ketika hamil merupakan antara perkara yang ditakuti kaum ibu mengandung kerana ia berisiko menyebabkan keguguran jika tidak disusuli dengan rawatan segera.
Pendarahan boleh berlaku di bahagian luar faraj iaitu pada vulva atau pangkal rahim. Ia boleh terjadi kerana komplikasi kehamilan atau keadaan plasenta yang tidak normal iaitu kedudukannya berhampiran atau betul-betul di atas serviks yang dipanggil placenta praevia.
Umum mengetahui, plasenta merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Ia berfungsi membekalkan makanan termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.
Namun, kedudukan plasenta yang songsang daripada kedudukan normal boleh mengakibatkan pendarahan yang serius.
Pakar Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Pantai Ampang, Dr. Sudha Kumari memberitahu, terdapat empat jenis placenta praevia iaitu lateral, marginal, partial dan central.
“Plasenta praevia lateral merujuk kepada kedudukan plasenta yang cenderung jaraknya lima sentimeter atau lebih daripada serviks manakala kedudukan marginal pula menunjukkan plasenta berada betul-betul di margin serviks.
“Placenta praevia partial pula menunjukkan keadaan plasenta menutupi sebahagian serviks, manakala penutupan serviks sepenuhnya pula dipanggil central iaitu kedudukan plasenta betul-betul di atas serviks. Dalam keempat-empat kes, keadaan central ini paling merbahaya,” katanya.
Tambah Sudha, keadaan tersebut berlaku selepas tempoh 24 minggu kehamilan dan ia disebabkan beberapa perkara iaitu parut ketika proses kelahiran atau pembedahan, kekerapan bersalin dan infeksi.
“Keadaan ini akan menjadi punca plasenta akan terus melekat di situ dan tidak bergerak. Pada awal tempoh kehamilan, plasenta berada di mana-mana dalam rahim kerana pada masa itu saiz bayi terlalu kecil, namun apabila tempoh kehamilan bertambah ia (plasenta) berubah tempat ke bahagian atas rahim.
“Kedudukan plasenta yang tidak berubah dipanggil placenta praevia. Sebenarnya, plasenta tidak bergerak tetapi uterus membesar dan mengembang, oleh itu ia secara automatik akan naik ke atas,” ujarnya.
Ia akan terjadi selepas 24 minggu tempoh kehamilan kerana dalam tempoh tersebut plasenta akan berada di kedudukan atas.
Menurut Sudha, walaupun plasenta berada di bawah pada kehamilan minggu ke-24, kebarangkalian ia berpindah ke atas tetap ada dan ia memerlukan pemantauan kandungan dengan kerap.
“Biasanya jika kedudukan plasenta dalam keadaan lateral dan marginal pada minggu ke-26 kehamilan, ada kemungkinan plasenta akan naik tetapi jika plasenta dalam keadaan central dan partial, kemungkinan besar ia tidak akan naik kerana kedudukannya betul-betul di atas serviks.
“Kerana itu, seseorang ibu perlu menjalani rawatan susulan dengan doktor. Selepas minggu ke-34 kita akan dapat tahu sama ada plasenta akan naik atau tidak,” katanya.
Siapa yang berisiko mendapat placenta praevia?
Mereka yang berisiko tinggi mendapat placenta praevia adalah dalam kalangan wanita yang pernah mengalami placenta praevia pada kehamilan sebelumnya.
Selain itu katanya, kekerapan bersalin setiap tahun, kelahiran anak kembar, pernah menjalani pembedahan caesarean dan fibroid, malah ada yang berpendapat wanita yang mengambil kokain dan merokok juga mempunyai risiko yang sama.
“Apabila umur meningkat risiko juga akan meningkat. Umur yang berisiko ialah wanita berusia bawah 20 tahun dan melebihi 35 tahun. Umur yang paling selamat ialah 20 hingga 30 tahun. Risiko wanita untuk mendapat placenta praevia adalah satu dalam 200 kehamilan.
“Seseorang yang didiagnos mengalami placenta praevia apabila berlaku pendarahan pada minggu ke-24 kehamilan. Oleh itu, doktor perlu buat ujian ultra bunyi bagi memastikan kedudukan plasenta,” jelasnya.
Wanita yang dikesan mengalami placenta praevia dinasihatkan untuk berehat, tidak membuat kerja-kerja berat, tidak bersenam, tidak mengadakan pemeriksaan vagina dan tidak melakukan hubungan seks sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh menyebabkan pendarahan.
Sudha memberitahu, wanita yang mengalami placenta praevia central dalam minggu ke-34 kehamilan akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan.
“Jika tiada sebarang pendarahan, mereka boleh berehat di rumah dengan syarat, jarak rumah mereka dekat dengan hospital dan mempunyai pengetahuan mengenai keadaan kehamilannya bagi mengelakkan risiko ke atas ibu dan anak.
“Segera berjumpa dengan doktor jika berlaku sebarang pendarahan tanpa rasa sakit. Buat permulaan, pendarahan kali pertama akan keluar sikit dan akan berhenti seketika sebelum berlaku pendarahan yang banyak,” katanya.
Tambahnya lagi, jika berlaku sedikit pendarahan dalam tempoh kehamilan masuk minggu ke-34, pihak hospital akan menunggu sehingga cukup bulan, tetapi jika si ibu mengalami pendarahan yang banyak, bayi perlu dikeluarkan segera demi kebaikan ibu dan anak.
“Jika berlaku pendarahan yang banyak, jantung bayi akan jatuh dan bayi perlu dikeluarkan segera jika tidak, bayi akan mati di dalam kandungan.
“Ibu yang mengalami placenta praevia tidak boleh melahirkan bayi secara normal dan perlu menjalani pembedahan caesarean. Bukan itu sahaja, ia memerlukan doktor yang berpengalaman luas mengendalikan kes placenta praevia serta kakitangan hospital yang terlatih. Jika tidak keadaan itu mengundang risiko kematian,” jelasnya.
Ujar beliau, dalam keadaan pendarahan yang banyak, seboleh-bolehnya, doktor mahu menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu dan bayi tetapi keutamaan diberikan kepada ibu.
0 ulasan:
Post a Comment