BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, October 7, 2010

Suburkan kasih sayang suami isteri




Kata  orang, cinta itu buta. Namun, kata-kata itu biasanya sering diucapkan ketika pasangan kekasih dilamun perasaan ombak cinta. Apabila sudah berkahwin, realitinya pasangan berkenaan perlu membuka mata mereka. 

Ini kerana ketika melalui detik manis bercinta, pasangan mungkin tidak atau jarang sekali melihat kekurangan pasangannya tetapi apabila sudah bergelar suami isteri, barulah semua terserlah.
Kaunselor Perkahwinan, Nina J Abdullah, berkata hakikatnya perkahwinan perlukan penyesuaian diri antara kedua-dua pasangan dan apabila sudah berkahwin, situasi tidak sama lagi ketika bercinta.
Nina berkata, dalam satu kajian dibuat pakar psikologi Amerika mendapati, antara punca krisis bermula ialah apabila pasangan dikurniakan anak, hilang pekerjaan, pindah di tempat baru dan juga beberapa hal lain yang perlukan penyesuaian. 

“Dalam sebuah perkahwinan dibina jika berlaku salah faham dan kesalahan apabila tidak diselesaikan, lama kelamaan ia boleh menjadi isu besar dalam rumah tangga. Oleh sebab itu ia tidak sepatut dibiarkan, sebaliknya pasangan terbabit perlu cari titik penyelesaian untuk keluar daripada permasalahan itu,” katanya ketika membincangkan tajuk, “Menyuburkan Kasih Sayang Dalam Perkahwinan”, di Centre for Human Development and Applied Social Sciences (CERDAS), anjuran Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, baru-baru ini. 

Perkahwinan atau mendirikan masjid kata Nina, adalah baik untuk kesejahteraan hidup seseorang, malah baik untuk kesihatan khususnya lelaki. Perkahwinan juga dikatakan membuatkan lelaki hidup lebih lama dan sihat. 

Menurut satu kajian di Amerika, perkahwinan membuatkan emosi lelaki lebih stabil berbanding mereka yang hidup sendirian. Ini berlaku kerana lelaki berkenaan mempunyai seseorang yang rapat dengannya untuk mencurah perasaan dan boleh berkongsi masalah dihadapi. 
“Tetapi semua kebaikan itu hanya akan diperoleh jika perkahwinan itu stabil dan tiada porak peranda. Jika perkahwinan itu ada masalah, kesihatan mungkin boleh terjejas dan bagi wanita keadaan kesihatannya adalah lebih teruk termasuklah masalah kemurungan dan gangguan emosi,” katanya. 

Nina berkata, antara suami dan isteri perlu ada sikap saling hormat menghormati kerana masing-masing ada ruang sempadan tersendiri. Malah, suami isteri juga perlu kenal budaya kehidupan di mana pasangan mereka dibesarkan. Dari situ pasangan akan belajar kekuatan dan kelemahan masing-masing. 

“Hormat bukan saja melalui kata-kata baik dan ucapan seperti terima kasih serta sebagainya tetapi lebih daripada itu. Perlu juga ada perbincangan apa yang boleh dan tidak diterima pasangan supaya dapat melihat serta mengetahui lebih jelas sempadan yang wujud,” katanya. 

Nina berkata, apabila pasangan meluahkan sesuatu perlulah menjadi pendengar yang baik dengan memberikan perhatian dan cuba memahami apa yang difikirkan serta rasakan. Cubalah letakkan diri sendiri dalam situasi yang dihadapi pasangan dan sedia berkongsi idea serta memberikan pendapat bagi membantu permasalahan dihadapinya. 

“Apabila mendengar kita perlulah memberikan perhatian sepenuhnya dan jika tidak faham lebih baik minta pasangan mengulanginya. Janganlah apabila pasangan meluahkan perasaan, yang satu lagi leka mengadap rancangan televisyen atau membasuh pinggan mangkuk di dapur. Jika bersikap demikian, nescaya pasangan tidak berkongsi mendengar. 

“Cara yang sepatutnya ialah bertentangan mata dengan pasangan dan ia juga menunjukkan pasangan itu mendengarnya,” katanya turut berpendapat kasih sayang bukan saja dilontarkan dengan kata-kata tetapi juga tindakan.

Begitu juga jika berlaku pergaduhan antara dua pihak, katanya, tidak menghairankan yang menang akan berasa berpuas hati manakala kalah akan kecewa. Namun, kata Nina dalam hubungan suami isteri jika ada perasaan seperti itu ia hanyalah sekadar penyelesaian sementara dan jangka pendek saja. Sepatutnya, sebagai suami isteri perlulah bekerjasama menyelesaikan sebarangan pertelingkahan dan kekusutan yang timbul. 

Katanya lagi, dalam usaha menyelesaikan masalah dihadapi, pasangan sewajarnya fokus dan menangani masalah dihadapi serta bukannya saling tuduh menuduh atau mencari kesilapan pasangan. 

“Memandang rendah pada pasangan adalah antara yang boleh membawa perceraian. Sepatutnya ketika berbincang dan cuba menangani masalah, pasangan wajar mencipta budaya menghargai pasangannya. Dan jangan sesekali kritik atau ‘menyerang’ karektor peribadi pasangan,” katanya. 

Nina menambah, walaupun sudah bergelar suami isteri dan tidur sebantal, pada asasnya masing-masing masih satu individu yang ada keperluan dan kehendak berbeza. Justeru, adalah penting untuk mewujudkan masa untuk diri sendiri bagi meningkatkan kesejahteraan dan menjaga diri sendiri. 

Katanya, sabar adalah penting dalam hidup berumah tangga sama pada dengan diri sendiri mahupun pasangan. Bagi yang baru berkahwin apatah lagi kerana segala yang baru memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Malah, perkahwinan itu sendiri membawa sesuatu yang perubahan baru dalam hubungan dibina. 

“Berkahwin adalah proses untuk individu mematangkan dirinya. Apa yang penting, uruskan dengan baik dan perlu ingat ada ketika ia bukanlah mudah seperti kita jangka atau harapkan. Mengurus dan proses pembelajaran dalam hidup berumah tangga samalah seperti kita mengayuh basikal yang ada kala jatuh dan ada ketika kayuhan lancar saja,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails