BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, October 6, 2010

Suara MPP: Bacaan ringan jatuh kredibiliti mahasiswa

Generasi  muda terutama mahasiswa digalakkan supaya mencambah minat membaca bagi menjadikan diri seorang yang berpandangan luas serta mampu memberikan pendapat.


Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM), Ahmad Wafi Sahedan berkata, minat membaca perlu dipupuk bagi membantu meningkatkan lagi kemahiran berfikir. 

Selain mampu berinteraksi dengan pelbagai masyarakat, membaca dapat mempelbagaikan maklumat sedia ada. 

Menurutnya, sikap kebanyakan mahasiswa lebih gemar membaca bahan bacaan ringan berbanding ilmiah perlu dikikis kerana dibimbangi tidak dapat membantu terutama ketika mencari peluang pekerjaan. 

“Mahasiswa perlu menyemai minat membaca terutama bahan ilmiah kerana dapat membantu dalam proses pembelajaran dan pencarian pelbagai maklumat. 

“Membaca bahan ringan tidak banyak membantu terutama dalam pencarian kerja atau berinteraksi dengan golongan lebih profesional. 


“Secara tidak langsung menjatuhkan kredibiliti dan menimbulkan pelbagai tanggapan negatif masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa.

“Justeru, tingkatkan minat membaca bagi mencambah ilmu sedia ada, selain memperbaiki jurang komunikasi. Buktikan mahasiswa mampu berdebat dan mengeluarkan pelbagai idea bernas,” katanya.

Bagi tujuan itu, Parlimen Mahasiswa diperkenalkan sebagai percubaan menjalin kerjasama erat di kalangan warga kampus.

Melaluinya, MPPUSM bekerjasama dengan pemimpin persatuan mencari mekanisme terbaik bagi membantu menyelesaikan kebajikan mahasiswa dan isu semasa.

Pada masa sama, menasihatkan mahasiswa supaya menjaga keselamatan diri terutama daripada pengaruh masyarakat luar yang bertujuan merosakkan masa depan mereka.
“Ramai pihak berpendapat, mahasiswa antara golongan mudah dipengaruhi kerana muda dan bercita-cita tinggi.

“MPPUSM menasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terburu-buru mengambil sebarang tindakan.

“Berfikirlah secara mendalam supaya masa depan tidak tergadai. Segala masalah berkongsilah dengan rakan untuk mendapat nasihat atau bantuan.

“Tindakan tanpa berfikir panjang bukan saja boleh merosakkan diri malah memalukan keluarga, justeru jangan mudah terpengaruh,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails