Psikologi putus cinta
Apakah cara anda berdepan dengan hubungan goyah yang sedang menanti belah? Adakah anda memutuskan hubungan, bersuara untuk membetulkan keadaan, terus setia atau mengabaikannya begitu sahaja?
LEWAT kebelakangan ini kisah putus cinta selebriti tempatan dan antarabangsa semakin banyak disiarkan dan diperkatakan media. Dengan ikrar janji, pampasan wang ringgit dan naik turun mahkamah kisah cinta selebriti menjadi sensasi sehingga adakala kelihatan begitu dramatik.
Pada kaca mata umum kisah permasalahan cinta kelihatan remeh, kebudak-budakan serta tidak matang malah, dipandang serong kerana ada perkara yang lebih penting daripada kisah basa basi cinta dan putus cinta.
Tetapi kepada mereka yang sedang atau pernah melalui episod putus cinta mengakui kesakitan psikologikal yang terpaksa ditanggung begitu berat. Kesan putus cinta begitu mendalam sehingga boleh melumpuhkan diri menyebabkan seseorang tidak berdaya, putus asa dan tidak berupaya berdepan dengan realiti. Ia mempengaruhi diri dalam perhubungan interpersonal pada masa hadapan.
Tempoh merawat dan memulih diri kesan putus cinta tidak dapat dijangkakan.
Baik di kalangan selebriti mahu pun individu biasa yang pernah melalui detik kesukaran putus cinta, ia bukan sesuatu yang mudah dikendalikan. Emosi membelenggu dan menghimpit. Fikiran bercelaru, kebingungan, tidak keruan adalah reaksi-reaksi psikologikal pemikiran dan emosional menjadikan konflik intrapersonal putus cinta membebankan.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan putus cinta. Antaranya ketidaksamaan status, kurang mahu berkongsi serta ketiadaan individu terdekat yang boleh menyatukan semula keintiman antara pasangan yang sedang bersengketa. Kecurangan juga adalah punca lain yang membawa kepada episod putus cinta.
Pakar psikologi, Rusbult mengenalpasti empat gerak balas dalam bentuk reaksi-reaksi psikologikal kesan putus cinta. Pertama, keluar daripada perhubungan yang merujuk kepada tindakan menarik diri atau mengancam untuk tidak meneruskan perhubungan percintaan yang dijalin.
Pada pasangan yang mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama, maka tiada lagi pertemuan-pertemuan istimewa yang biasa dilakukan bersama. Status kekasih atau kawan istimewa bertukar kepada kawan biasa.
Keluar daripada perhubungan adalah tindakan aktif yang pada masa sama bersifat distruktif. Ini kerana adakala ia disusuli dengan tindakan-tindakan di luar jangkaan yang memburukkan lagi suasana dalam diri dan status perhubungan. Emosi menguasai tindakan dan perilaku. Sifat yang tidak disedari muncul dalam keadaan tidak sedar atau kurang disedari.
Kedua, bersuara di mana pasangan di ambang perpisahan bersuara dengan membuat perbincangan, cuba berkompromi, menghadiri sesi kaunseling atau terapi dalam usaha mengubah pasangan. Bersuara tidak bermaksud meluahkan secara lisan apa yang berlaku tetapi bersuara melibatkan reaksi-reaksi aktif positif yang membina.
Ketiga, kesetiaan untuk terus bersama dengan pasangan walaupun menyedari wujudnya masalah dalam perhubungan intim. Mereka yang tidak setia sebenarnya tidak cuba menyelesaikan masalah yang melanda perhubungan tetapi lebih kepada percubaan untuk terus bertahan mengharungi pergolakan perhubungan percintaan mahupun perkahwinan.
Mereka yang menganggap diri setia mempercayai keadaan akan berubah dengan berlalunya masa. Mereka menekankan kepentingan dengan meyakinkan diri untuk terus kekal bersama. Kesetiaan dari sudut psikologi adalah sesuatu yang pasif tetapi bersifat konstruktif.
Keempat, pengabaian di mana keengganan untuk bersama mengendali, mengurus permasalahan yang sedang memporak-perandakan perhubungan percintaan. Lantas, seseorang itu lebih rela membiarkan perhubungan dibubarkan saja.
Tindakan mengabai, ditunjukkan dalam bentuk tindakan seperti tidak mempedulikan pasangan, mengurangkan masa bersama, tidak mahu membincangkan masalah sebenar, melayan pasangan dengan cara yang tidak sesuai, tidak wajar atas desakan emosional, mengkritik pasangan dengan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan masalah sebenar.
Pada yang tidak arif dalam mengendalikan putus cinta ia bagaikan luka bengkak yang menjadi nanah, secara kronik merungut, tidak puas hati tidak mahu berusaha, berikhtiar mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan sebenar dalam perhubungan percintaan. Pengabaian yang bersifat pasif dan distruktif ini memburukkan lagi keadaan.
Perlu diingati keempat-empat reaksi-reaksi emosional serta tindakan psikologikal akibat putus cinta sebagaimana yang dijelaskan di atas berlaku dalam keadaan yang berbeza antara individu. Perbezaan ini dipengaruhi oleh personaliti, latar belakang, jangka masa perhubungan percintaan, tahap pendidikan dan corak rangkaian pergaulan yang membentuk mentaliti menghadapi.
Mereka yang bertindak untuk keluar daripada perhubungan cinta mempercayai tiada apa yang perlu ditakuti dengan bertindak sedemikian dan percaya perhubungan tidak perlu diselamatkan.
Bersuara juga adalah tindak balas yang bersesuaian apabila perhubungan yang dijalin dihargai tetapi berada dalam status bahaya.
Kesetiaan dilakukan dalam usaha untuk mengekalkan status quo. Mereka yang berpuas hati dan banyak melabur dalam perhubungan percintaan sebelum berbalah mempercayai masalah perhubungan yang dialami secara relatifnya kecil lantas berkemungkinan untuk terus setia.
Pengabaian adalah tindakan distruktif yang menghancurkan perhubungan yang kerap dilakukan oleh mereka yang tidak tahu bagaimana lagi untuk memperbaiki perhubungan yang goyah.
Kajian Choo, Levine & Hatfield (1996) mendapati perempuan lebih banyak menyalahkan lelaki bila putus cinta sementara lelaki menyibukkan diri dengan kerjaya atau melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Sememangnya putus cinta dalam perhubungan interpersonal adalah suatu pengalaman menyakitkan. Keperitan psikologikal putus cinta adakalanya tidak tertanggung. Namun perlu disedari dalam kemelut permasalahan putus cinta ada kemanisannya tetapi kebijaksanaan mengatasi segalanya.
Hämta Mon cousin Vinny Blu ray
5 years ago
0 ulasan:
Post a Comment