BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, January 23, 2010




GUA NIAH, SARAWAK
SEJAK perkhidmatan penerbangan AirAsia dari Singapura ke Miri, Sarawak diperkenalkan September lalu, bekas bandar minyak di bumi Kenyalang itu mula mendapat perhatian pelancong dari kota Singa.
Sebelum ini, pelawat dari pulau Temasek biasanya akan ke negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk bercuti atau menikmati keindahan alam semula jadi.
Walaupun Sarawak hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan atau sejam penerbangan dari Changi ke Kuching, bumi Kenyalang itu belum begitu dikenali dalam kalangan warga Singapura.
Sebelum AirAsia memperkenalkan laluannya ke Miri, memang terdapat penerbangan dari Singapura ke Kuching melalui penerbangan syarikat lain tetapi ia tidak menawarkan tambang murah dan jadual penerbangan yang kerap.
Sebagai sebuah negeri yang besar, kurang kemudahan pengangkutan dan penginapan, para pelancong dari Singapura hanya berpeluang berkunjung ke Kuching dan kawasan berhampiran seperti Santubong, Bau, Kota Samarahan, Lundu, Serian dan Tebedu.
Tentunya lawatan mereka terhad di sekitar Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Taman Hidupan Liar Matang dan Semenggoh, Taman negara Bako dan Batang Ai serta Tanah Tinggi Borneo, Tasik Biru, dan rumah panjang Iban dan Bidayuh yang berdekatan.
Pelancong yang hanya bertumpu di Kuching mungkin tidak dapat menikmati tarikan sebenar Sarawak yang cukup terkenal dengan hutan rimba, bukit-bukau, gunung-ganang dan sungai-sungai yang menjadi nadi pengangkutan negeri itu.
Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) mengambil langkah proaktif menerusi pelbagai pameran pelancongan di Singapura anjuran National Association of Travel Agents Singapore dan Pelancongan Malaysia.
Letitia Samuel dari LPS berkata, Miri menawarkan pelbagai tarikan unik dan semula jadi yang masih belum dikenali. Antaranya Gua Niah dan hutan belantara Borneo yang terletak di pinggir bandar raya
Jika sebelum ini ramai pelancong yang terlepas peluang mengunjungi Taman Negara Niah kerana laluan penerbangan, bagi mengatasi masalah itu Miri kini dijadikan transit menukar pesawat.
Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong berpeluang mengunjungi Taman Negara Niah, lapangan terbang Miri kini menjadi transit untuk menukar pesawat ke destinasi tersebut.
Gua-gua di Taman Negara Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.
Gua-gua itu mula diteroka pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak yang dikenali sebagai Tom Harrison. Harrison mengendalikan ekspedisi arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarah manusia zaman itu.
Di kawasan gua itulah artifak zaman batu dan rangka manusia moden tertua di Asia Tenggara ditemui. Penemuan itu menandakan wujudnya satu peradaban manusia dan menjadikan taman itu sebagai satu pusat arkeologi terpenting di dunia.
Burung walit
Terdapat tiga gua utama di Taman Negara Niah iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.
Gua Pedagang mengambil sempena kawasan gua itu yang dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual-beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua yang terdapat di Taman Negara Niah.
Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit yang dibina lebih lima dekad lalu.
Walaupun kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti pada tahun 50-an hingga lewat 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu pada hari ini dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungut-pemungut tempatan.
Lebih mengagumkan ialah pelancong dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut itu dengan lampu suluh yang diikat di kepala. Mereka akan memanjat tiang-tiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang tingginya menyamai tujuh atau lapan tingkat bangunan untuk mencari sarang burung walit.
Pemungut-pemungut itu sanggup bertarung nyawa seperti Spiderman kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses itu mencecah sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.
Selain tarikan Gua Pedagang, pelancong juga berpeluang melawat Gua lukisan. Terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan neolitik dari zaman batu di beberapa bahagian dinding Gua Lukisan.
Lukisan itu terdapat dalam pelbagai saiz dan ukuran serta mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometri. Ia dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah yang diperoleh daripada tumbuhan.
Sementara itu, di Gua Besar terdapat pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit serta kesan kerja-kerja arkeologi.
Selain gua, Miri juga menawarkan peluang kepada pelancong yang mahu mendekati diri mereka dengan alam semula jadi seperti kehijauan hutan belantara, melihat binatang liar, memetik buah-buahan dan mandi-manda di air terjun yang jernih dan sejuk airnya.
Seorang pengusaha hotel, Henry Law Ing Hua, 59, membina sebuah pusat peranginan dinamakan Borneo Tropical Rainforest Resort bersebelahan dengan Taman Negara Bukit Lambir.
Terletak 36 kilometer (km) dari Miri atau 30 minit memandu dari Lapangan terbang Miri, pusat peranginan seluas lebih 300 hektar itu dilengkapi 50 bilik tidur dan calet, serta hostel untuk mereka yang datang secara berkumpulan.
Pusat peranginan itu dibuka secara berperingkat sejak 1 Jun 2007 menyediakan pelbagai aktiviti seperti meredah hutan, menaiki bot menyelusuri sungai, melihat ternakan peliharaan dan berjalan di dalam hutan pada waktu malam.
Pusat itu juga dilengkapi kemudahan untuk berkhemah di hutan, memanjat dinding, memancing ikan di dalam kolam dan beriadah seperti bermain badminton, bola keranjang dan futsal.
Terdapat juga dusun buah-buahan seperti buah nangka, cempedak, rambutan, longan dan nanas. Selain itu terdapat mempelam, sukun, durian, jambu, laici dan sebagainya.
Ing Hua yang merupakan pengarah urusan pusat penginapan itu berkata, beliau merancang untuk membuka safari.
Dengan kemudahan yang terdapat Miri, para pelancong dari Singapura yang ingin mengharungi kehidupan alam semula jadi, tidak perlu lagi pergi jauh untuk menikmati peluang itu.

Wednesday, January 20, 2010

GOLONGAN KATA

Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama.

Dalam Bahasa Melayu ada empat bentuk golongan kata :
- Kata Nama
- Kata Kerja
- Kata Adjektif / Sifat
- Kata Tugas


Kata Nama

Kata nama menunjukkan nama benda, naam orang, nama tempat dan nama perkara. Kata nama ialah sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa dan lazimnya perkataan demikian menamakan orang, tempat, benda atau konsep.

Kata nama boleh dikelompokkan kepada tiga jenis :

a) Kata Nama Khas
- kata nama yang merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar.
- Ia terbahagi kepada tiga :
i) Kata Nama Khas Hidup Manusia – contoh : Lina, Ahmad, Tun Abdul Razak

ii) Kata Nama Khas Hidup Bukan Manusia – contoh : Tompok, Si Belang, Jalak, Jibrail

iii) Kata Nama Khas Tidak Hidup – Balakong, Proton Saga, Parit Buntar, Pasar Seni, Planet Marikh.

b) Kata Nama Am
- kata nama yang merujuk kepada benda-benda atau perkara yang umum sifatnya.
- Ia terbahagi kepada dua :
i) Kata Nama Am Abstrak – jenis kata nama yang bukan berkonsepkan kebendaan, contohnya roh, angin, kedamaian, kemerdekaan, demokrasi.

ii) Kata Nama Am Konkrit – kata nama yang berkonsepkan kebendaan, contohnya sungai, isteri, bapa, kambing.

c) Kata Ganti Nama
- kata ganti nama terbahagi kepada :
i) Kata ganti nama tunjuk
- kata nama yang berfungsi merujuk kepada sesuatu perkara atau benda
- ada dua : itu ( merujuk kepada benda yang jauh) dan ini (merujuk kepada benda yang dekat)

ii) Kata ganti nama diri – kata ganti nama yang menjadi pengganti nama sesuatu benda, perkara atau manusia. Kata ganti nama diri pula boleh dibahagikan kepada:
- Kata ganti nama diri tanya – jenis kata yang berfingsi menanyakan hal benda, perkara atau manusia. Terdapat tiga bentuk :
- Siapa  merujuk kepada orang
- Apa  merujuk kepada benda atau perkara
- Mana  merujuk kepada benda

- Kata ganti nama diri orang – jenis ganti nama yang merujuk kepada manusia yang terdiri daripada tiga kategori :

- orang pertama  saya, aku, beta, patik, kita
- orang kedua  saudara, kamu, awak, engkau, anda
- orang ketiga  ia, dia, beliau, mereka, nya.




Kata Kerja

Kata kerja berperanan untuk menunjukan sesuatu perbuatan atau sesuatu keadaan. Kata kerja dapat dibahagikan seperti berikut:
1) Kata Kerja Transitif :
a) Kata Kerja Transitif Aktif
b) Kata Kerja Transitif Pasif
2) Kata Kerja Tak Transitif :
a) Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
b) Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap

Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh objek untuk melengkapkan maksud. Objek yang mengikuti kata kerja transitif ialah frasa nama. Contoh :
- Suhaina menjahit baju kurung untuk adiknya.
- Emak memotong buah tembikai yang baru dibelinya.
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan menerima awalan ‘men’ dengan atau tanpa akhiran ‘kan’ atau ‘i’. Contoh :
- Mastura mencuci pakaian di dalam bilik air
Kata kerja transitif pasif pula ialah kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. Kata kerja yang terhasil dari proses transformasi ayat aktif menjadi ayat pasif akan mewujudkan kata kerja transitif pasif. Contoh :
- Pakaian dicuci oleh Mastura.

Terdapat beberapa cara yang dapat membantu untuk mengenali kata kerja transitif :
- Mengemukakan pertanyaan ‘apa’ selepas sesuatu kata kerja, sekiranya sesuatu jawapan boleh diperolehi, maka kata kerja tersebut adalah kata kerja transitif. Contoh : mengecat apa ?  mengecat rumah
- Apabila sesuatu kata kerja diberi imbuhan terlebih dahulu, ini bermakna pada asalnya perkataan ini bukannya kata kerja. Contohnya perkataaan ‘mengecat’ berasal daripada kata nama ‘cat’ selepas menerima imbuhan ‘menge’.
- Setiap ayat yang menggunakan kata kerja transitif mesti mengandungi dua kata nama, ini kerana kata kerja transitif mesti dilakukan oleh seseorang ke atas orang atau benda lain. Contoh : Sulaiman menembak burung gagak.
Sulaiman kata nama pelaku
Burung gagak  kata nama objek
menembak  kata kerja transitif

Apabile membicarakan mengenai kata kerja transitif, maka perlu diketahui tentang konsep objek tepat dan objek sipi. Dalam sesuatu ayat yang mempunyai kata kerja, ia boleh diikuti oleh dua ayat yang kedua-duanya boleh menjadi objek. Contoh :
- Abu membelikan kekasihnya seutas rantai emas.
membelikan  kata kerja transitif
rantai emas  objek tepat
kekasihnya  objek sipi
Dalam ayat itu, objek tepat dapat dikenal pasti dengan hanya bertanya ‘apa’ kepada kata kerja yang hadir dalam ayat itu.


Kata kerja tak transitif adalah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau pelengkap selepasnya. Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua :
- Kata kerja tak transitif tak berpelengkap
- Kata kerja tak transitif berpelengkap

Kata kerja tak transitif tak berpelengkap adalah bentuk kata kerja yang paling ringkas, iaitu boleh berdiri sendiri dengan tanpa diikuti oleh pelengkap atau objek. Kata kerja jenis ini boleh terdiri daripada kata kerja dasar (tanpa imbuhan) dan dengan imbuhan awalan. Contoh : terbang, tidur, berlari, berenang.

Kata kerja tak transitif dapat dikenali dengan bertanya ‘apa’ selepas kata kerja itu. Sekiranya tidak ada jawapan, maka kata kerja itu adalah kata kerja tak transitif kerana ia tidak ada objek. Contoh :
Burung terbang  terbang apa ? (tiada jawapan)
Adik berlari  berlari apa ? (tiada jawapan)

Kata kerja transitif berpelengkap bermaksud kata kerja ini perlu diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Terdapat beberapa jenis pelengkap :
- Waktu . contoh : Ali duduk sejak tadi.
- Tempat . contoh : Kakak duduk di atas kerusi
- Cara . contoh : Ali duduk bersimpuh
- Sebab. contoh : Dia duduk kerana letih.
Pelengkap ialah unsur ayat yang berfungsi menyempurnakan maksud ayat. Jikalau pelengkap dalam ayat tidak ada, ayat itu menjadi tidak gramatis. Contoh :
- Sarah ingin menjadi peragawati
- Amri bertambah sayang kepada isterinya
Jika tanpa pelengkap :
Sarah ingin menjadi …(menjadi apa?)
Ali bertambah…(bertambah apa?)
Pelengkap hendaklah dibezakan dengan objek. Pelengkap hadir selepas kata kerja tak transitif, manakala objek pula hadir selepas kata kerja transitif dengan tujuan melengkap maksud. Perlu diingat bahawa kata kerja transitif sahaja dapat dipasifkan.

Bagi mengenali sesuatu perkataan itu kata kerja atau tidak, terdapat beberapa cara :
1) Kata kerja dapat digandingkan dengan kata bantu. Contoh :
minum  sudah minum
sebaliknya : baju  sudah baju (tidak memberi makna)
Kaedah ini amat perlu apabila hendakl membezakan beberapa kata kerja yang kelihatan seakan-seakan kata sifat.
2) Sesuatu perkataan itu diberi imbuhan tertentu seperti ‘ber’, ‘me’, ‘kan’,’i’ dan ‘di’




Kata Sifat / Adjektif

Kata sifat ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Ia boleh dikenal pasti dan dibezakan dari kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat. Kata sifat menceritakan sifat benda (kata nama) dan sifat perbuatan (kata kerja).

Kata sifat alam Bahasa Melayu dibahagikan kepada sembilan berdasarkan kriteria makna.

1) Kata Sifat Keadaan
- memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan. Contoh : orang jahat, budak pintar

2) Kata Sifat Warna
- membawa makna warna untuk menerangkan kata nama. Contoh : langit biru, bibir merah.

3) Kata Sifat Ukuran
- menyatakan ukuran kata nama. Contoh : perahu panjang, pokok renek

4) Kata Sifat Bentuk
- menerangkan mengenai bentuk kata nama. Contoh : jalan bengkok, mata bulat

5) Kata Sifat Jarak
- menerangkan kata nama dari segi ruang. Contoh : jalan pintas, kawan jauh.

6) Kata Sifat Waktu
- memberi penjelasan konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh : makanan segera, rumah baru

7) Kata Sifat Cara
- membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama. Contoh : air deras, hujan lebat

8) Kata Sifat Perasaan.
- memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu kata nama. Contoh : suka akan, penuh ragu

9) Kata Sifat Pancaindera
- terdiri daripada yang memberi makna rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. Contoh :
makanan lazat (konsep rasa)
lelaki tampan (konsep pandang)
suara merdu (konsep dengar)
minyak wangi (konsep bau)
kulit licin (konsep sentuh)

Terdapat beberapa cara yang boleh membantu untuk mengenal pasti kata sifat :
1) Kata sifat boleh berganding dengan kata penguat seperti amat dan paling, sama ada diletakkan di hadapan kata sifat atau diakhirnya.
2) Kata sifat diberi imbuhan ‘ter’ dan ‘se’.




Kata Tugas

Kata tugas mempunyai tugas yang mustahak di dalam ayat. Kata tugas tidak mempunyai makna tetapi ia digunakan dalam ayat dan frasa untuk menjalankan sesuatu tugas tatabahasa. Fungsi kata tugas ialah menjadi penghubung, penentu, penguat, pedepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, pemeri, penanya dan penyeru.
Ada 16 jenis kata tugas yang boleh dikelompokkan berdasarkan kriteria kedudukan dan fungsinya dalam binaan ayat, iaitu :
- kata hubung - kata penegas
- kata tanya - kata nafi
- kata seru - kata pemeri
- kata perintah - kata sendi nama
- kata pembenar - kata arah
- kata pangkal ayat - kata bilangan
- kata bantu - kata penekan
- kata penguat - kata pembenda

Untuk memudahkan penghuraian, jenis kata ini boleh dibahagikan kepada empat kelompok :

1) Kata Penyambung Ayat
- terdiri daripada satu jenis kata tugas sahaja, iaitu kata hubung.
- Ia adalah sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih menjadi satu ayat yang berlapis yang dikenali sebagai ayat majmuk.
- Contoh : dan, atau, tetapi, serta, sebaliknya, serana, supaya, walaupun.

2) Kata Praklausa
- sejumlah perkataan yang terletak perkataan yang terletak dihadapan klausa iaitu yang terdiri daripada :
- kata seru : berfungsi melahirkan pelbagai bentuk ayat yang menunjukkan perasaan. Contoh : aduh, cis, aduhai, amboi.
- kata tanya : untuk menanyakan sesuatu atau menyoal sesuatu. Contoh : mengapa , berapa, bila, bagaimana.
- kata perintah : perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas. Ia diucapkan dengan nada perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan. Contoh : jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong.
- kata pembenar : perkataan yang mengesahkan sesuatu pertanyaan. Contoh : ya, benar, betul,
- kata pangkal ayat : perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana. Contoh : hatta, maka, syahdan, adapun, alkisah.

3) Kata Prafrasa
- sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja atau frasa adjektif.
- Ia mendukung tugas-tugas maksud yang terkandung dalam ayat seperti membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, menyendikan, menunjukkanarah dan membilang.
- terdapat 8 jenis kata prafrasa :
- kata bantu : jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama dengan menimbulkanmakna-makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam. Kata bantu boleh dibahagikan kepada dua kumpulan :
- kata bantu aspek yang bertugas menerangkan sama ada perubatan itu sudah dilakukan, sedang dilakukan atau akan dilakukan. Contoh : telah, sudah, pernah, sedang, masih, akan, belum.
- Kata bantu ragam bertugas menerangkan kemahuan atau perasaan yang dirasai oleh orang yang melakukan perbuatan tersebut. Contoh : hendak, mahu, hrus, mesti, boleh, dapat.
- kata penguat : berfungsi menguat maksud kata adjektif. Contoh : terlalu, paling, sekali, benar, sungguh, amat.
- kata penegas : juga dikenali sebagai kata partikel. Ia adalah sejumlah perkataan yang memberi penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Ada dua jenis kata penegas
- menegaskan hanya frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contoh : -kah, -tah, -lah.
- menegaskan kedua-dua bahagian ayat iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contoh : juga, jua, sahaja, pun, lagi, memang.
- kata nafi : perkataan yang menjadi unsur nafi frasa frasa predikat iaitu frasa nama, frasa kerja,frasa adjektif dan frasa sendi nama. Ada dua bentuk kata nafi : bukan dan tidak.
- kata pemeri : ia adalah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Contoh : adalah, merupakan, ialah.
- kata sendi nama : kata yang terletak di hadapan frasa sendi nama. Kata sendi nama sentiasa hadir di hadapan perkataan yang diterangkan olehnya. Contoh : di, ke, dari, demi, tentang, seperti, terhadap.
- kata arah : sejumlah perkataaan yang hadir sebelum frasa nama, lazimnya hadir sesudah perkataan sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Contoh : atas, bawah, tepi, antara.
- kata bilangan : sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama. Contoh : dua puluh, segala, semua, para,banyak, masing-masing.

4) Kata Pasca
- ia adalah satu bentuk kata yang hadir selepas perkataan. Bentuk itu ialah ‘-nya’ , yang berfungsi sebagai penekan dan pembenda.
- Kata penekan ialah satu bentuk yang memberi penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh :
Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis.
- Kata pembenda pula ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan dari kata nama sebagai kata nama. Contoh :
Lajunya 100 km sejam.

Sunday, January 17, 2010

SIFAT PENULISAN KOLONIAL
 Beri gambaran negatif tentang sesuatu politik dan budaya masyarakat peribumi
 Ditonjolkan sesuai dengan keinginan untuk menjustifikasi penjajahan British di Tanah Melayu.
 Contohnya: Menurut Sir Thomas Stamford Raffles, leftenan Inggeris, gabenor Jawa dan Bengkahulu, orang Melayu mengalami penurunan martabat ketika orang Inggeris menemui mereka. Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu secara umum telah membuat kemajuan nyata dari segi peradaban. Pengaruh gabungan Islam dan Arab, Belanda dan cina mengakibatkan kemerosotan mereka.( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 6 )
 Memandang rendah terhadap orang Melayu
 Menggangap masyarakat peribumi mempunyai banyak kelemahan dan keburukkan jika di bandingkan dengan orang Barat.
 Contoh : Hugh Clifford membuat perbandingan masyarakat Pahang, Terengganu dan Kelantan.
 Orang Melayu Pahang menurutnya, berfikiran maju tentang ketenteraan, permainan cinta gelap, olahraga yang dilarang oleh agamanya, dungu, tidak beragama, tiada intelek dan angkuh, sifat kebajikan mereka adalah sifat kejantanan dan kenekadan mereka serta sanggup beri kesetiaan yang luar biasa kepada para pemimpin mereka. ( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 16 )
 Orang Melayu Terengganu pula manusia yang damai, kepentingan adalah perdagangan dan pekerjaan,tidak memiliki kebanggaan bangsa dan Negara yang juga menandai kalangan masyarakat Melayu Pahang, tidak memiliki “nafsu setia” kepada para penguasa mereka yang melewati batas, rajin dan mengungguli orang Melayu yang lain. ( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 17 )
 Orang Kelantan pula, tidak mempunyai harga diri, mudah tersinggung, perasa jika menentang, melakukan dengan cara yang bodoh, unggul dalam kebolehan mencuri, memperoleh sanjungan pencuri antara pencuri. ( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 17 )
 Menggalakkan kepada dasar campur tangan secara langsung, memenangi hati masyarakat tempatan.
 Mengatakan bahawa orang Eropah datang ke Tanah Melayu adalah bertujuan baik dan ingin membantu masyarakat Melayu agar ada kemajuan dan memperoleh tingkat peradaban yang lebih baik.
 Contoh : Menurut Clifford, tujuan Eropah ke Tanah Melayu kerana bersimpati dengan masyarakat Melayu, dan ingin membantu masyarakat Melayu ke arah kemajuan dan perkembangan.( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 17 )
 Menulis dari kaca mata orang Barat
 Citra yang negatif tentang penduduk yang ditundukkan oleh kekuasaan kolonial Barat, yang menguasai ideologi kolonial digambarkan berdasarkan pengamatan sepintas lalu, kadang-kadang dengan ramalan buatan yang kuat atau salah pengertian dan metodologi yang keliru.
 Menampakkan kelemahan mereka daripada lima sumber utama ;
 Kekeliruan penyamarataan
 Pentafsiran peristiwa di luar konteks yang sesungguhnya,
 Tiada ketegasan
 Prasangka yang dikuatkan oleh rasa fanatik, bongkak dan angkuh
 Dominasi yang tidak sedar daripada kelompok tertentu dalam fikiran kapitalis colonial Barat.
( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 97 )
 Mewujudkan kekeliruan dalam sejarah peribumi
 Kesimpulan mereka tentang watak peribumi tidak memenuhi syarat sebagai hipotesis ilmiah. Tulisan mereka telah mencipta citra tentang masyarakat Melayu atau untuk menggunakan istilah tekniknya”Stereotaip”.
 Mampu mempengaruhi sejumlah besar pendudukk peribumi tentang watak masyarakat Melayu dari kaca mata colonial.

Thursday, January 14, 2010

SIFAT PENULISAN KOLONIAL
 Beri gambaran negatif tentang sesuatu politik dan budaya masyarakat peribumi
 Ditonjolkan sesuai dengan keinginan untuk menjustifikasi penjajahan British di Tanah Melayu.
 Contohnya: Menurut Sir Thomas Stamford Raffles, leftenan Inggeris, gabenor Jawa dan Bengkahulu, orang Melayu mengalami penurunan martabat ketika orang Inggeris menemui mereka. Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu secara umum telah membuat kemajuan nyata dari segi peradaban. Pengaruh gabungan Islam dan Arab, Belanda dan cina mengakibatkan kemerosotan mereka.( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 6 )
 Memandang rendah terhadap orang Melayu
 Menggangap masyarakat peribumi mempunyai banyak kelemahan dan keburukkan jika di bandingkan dengan orang Barat.
 Contoh : Hugh Clifford membuat perbandingan masyarakat Pahang, Terengganu dan Kelantan.
 Orang Melayu Pahang menurutnya, berfikiran maju tentang ketenteraan, permainan cinta gelap, olahraga yang dilarang oleh agamanya, dungu, tidak beragama, tiada intelek dan angkuh, sifat kebajikan mereka adalah sifat kejantanan dan kenekadan mereka serta sanggup beri kesetiaan yang luar biasa kepada para pemimpin mereka. ( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 16 )
 Orang Melayu Terengganu pula manusia yang damai, kepentingan adalah perdagangan dan pekerjaan,tidak memiliki kebanggaan bangsa dan Negara yang juga menandai kalangan masyarakat Melayu Pahang, tidak memiliki “nafsu setia” kepada para penguasa mereka yang melewati batas, rajin dan mengungguli orang Melayu yang lain. ( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 17 )
 Orang Kelantan pula, tidak mempunyai harga diri, mudah tersinggung, perasa jika menentang, melakukan dengan cara yang bodoh, unggul dalam kebolehan mencuri, memperoleh sanjungan pencuri antara pencuri. ( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 17 )
 Menggalakkan kepada dasar campur tangan secara langsung, memenangi hati masyarakat tempatan.
 Mengatakan bahawa orang Eropah datang ke Tanah Melayu adalah bertujuan baik dan ingin membantu masyarakat Melayu agar ada kemajuan dan memperoleh tingkat peradaban yang lebih baik.
 Contoh : Menurut Clifford, tujuan Eropah ke Tanah Melayu kerana bersimpati dengan masyarakat Melayu, dan ingin membantu masyarakat Melayu ke arah kemajuan dan perkembangan.( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 17 )
 Menulis dari kaca mata orang Barat
 Citra yang negatif tentang penduduk yang ditundukkan oleh kekuasaan kolonial Barat, yang menguasai ideologi kolonial digambarkan berdasarkan pengamatan sepintas lalu, kadang-kadang dengan ramalan buatan yang kuat atau salah pengertian dan metodologi yang keliru.
 Menampakkan kelemahan mereka daripada lima sumber utama ;
 Kekeliruan penyamarataan
 Pentafsiran peristiwa di luar konteks yang sesungguhnya,
 Tiada ketegasan
 Prasangka yang dikuatkan oleh rasa fanatik, bongkak dan angkuh
 Dominasi yang tidak sedar daripada kelompok tertentu dalam fikiran kapitalis colonial Barat.
( Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas, m/s 97 )
 Mewujudkan kekeliruan dalam sejarah peribumi
 Kesimpulan mereka tentang watak peribumi tidak memenuhi syarat sebagai hipotesis ilmiah. Tulisan mereka telah mencipta citra tentang masyarakat Melayu atau untuk menggunakan istilah tekniknya”Stereotaip”.
 Mampu mempengaruhi sejumlah besar pendudukk peribumi tentang watak masyarakat Melayu dari kaca mata colonial.

Friday, January 8, 2010

PENGIMBUHAN MEMPERKAYA KOSA KATA BAHASA MELAYU
oleh SUHAIMI MOHD SALLEH

SATU daripada cara pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu adalah dengan pengimbuhan. Malahan, bahasa Melayu adalah antara bahasa di dunia yang membentuk banyak perkataannya menggunakan proses pengimbuhan. Dengan ciri ini, bahasa Melayu tergolong ke dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Proses pembentukan kata dengan cara ini adalah dengan menggabungkan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan.

Imbuhan merupakan morfem terikat, iaitu bentuk yang tidak dapat wujud secara bersendirian. Bentuk ini hanya membawa makna apabila digabungkan dengan morfem bebas, iaitu kata dasar. Imbuhan digandingkan dengan kata dasar dalam empat keadaan, iaitu mendahului, mengikuti, mengapit dan menyisipi kata dasar. Bentuk perkataan yang terhasil daripada proses penggabungan dua morfem tidak setara ini dipanggil kata terbitan.

Berdasarkan kedudukan atau keadaan itu, imbuhan terdiri daripada empat jenis, iaitu masing-masing dikenali sebagai awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Perkataan sambung umpamanya, dapat dijadikan bersambung (awalan), sambungan (akhiran), disambungkan (apitan) dan sinambung (sisipan). Malahan, bentuk sisipannya dapat pula menerima awalan dan apitan, iaitu bersinambung, bersinambungan, dan kesinambungan.

Imbuhan dalam bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan kata nama, imbuhan kata kerja, dan imbuhan kata adjektif. Imbuhan-imbuhan ini tidak sahaja dapat bergabung dengan kata dasar tunggal dan kata akar tertentu, tetapi juga dengan kata dasar terbitan dan kata dasar majmuk.




Selain imbuhan-imbuhan di atas, bahasa Melayu mempunyai imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit, Arab-Parsi dan Inggeris. Imbuhan pinjaman terdiri daripada jenis awalan dan akhiran. Imbuhan pinjaman yang lazim digunakan adalah seperti yang berikut:



Terdapat bentuk imbuhan yang sama tetapi membawa fungsi yang berbeza dalam penggunaannya. Awalan ter- berfungsi membentuk kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan. Misalnya, dalam terambil dan terjumpa, imbuhan itu membentuk kata kerja, tetapi dalam terindah dan terpenting pula, yang terbentuk ialah kata adjektif. Yang lebih unik ialah apitan ke-...-an dapat membentuk kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Contohnya, kepahlawanan, kedatangan dan keburukan merupakan kata nama, tetapi kehujanan, kelihatan dan kesempitan ialah kata kerja (pasif), dan kebaratan, kecinaan dan keinggerisan pula merupakan kata adjektif.
Bentuk akhiran tidak wujud dalam kata adjektif. Demikian juga sisipan, tidak wujud dalam kata kerja. Walau bagaimanapun, sisipan kata nama dan kata adjektif boleh dijadikan sisipan kata kerja sekiranya sisipan itu diberikan imbuhan kata kerja.

Penggabungan bentuk awalan pe- dan me- dengan kata dasar yang huruf pertamanya ialah p, k, t dan s, dapat menyebabkan huruf pertama itu mengalami penggantian dengan huruf lain yang terdiri daripada jenis sengau, iaitu masing-masing menjadi m, ng, n, dan ny. Huruf-huruf pengganti itu sama daerah artikulasinya atau bersifat homorganik dengan huruf-huruf yang digantikan. Hal yang sama terjadi pada apitan yang diawali oleh pe- dan me-.

Bentuk awalan penge- dan menge- pula terbit daripada awalan peng- dan meng-. Hal yang demikian terjadi sekiranya awalan-awalan itu digabungkan dengan kata dasar ekasuku kata (satu suku kata), seperti pengecat, pengebom dan pengetin, serta mengecat, mengebom dan mengetin. Keadaan ini turut wujud pada apitan yang bermula dengan pe- dan me-.

Proses pengimbuhan menghasilkan perubahan kepada golongan kata. Mana-mana golongan kata, sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas, apabila digandingkan dengan imbuhan berkenaan, akan membentuk kata terbitan mengikut jenis imbuhan yang digunakan. Kata dasar jalan, asalnya ialah kata nama, tetapi menjadi kata kerja apabila diimbuhkan dengan ber-, -i, men-...-kan, dan men-...-i.

Terdapat juga pengimbuhan yang mengekalkan golongan kata. Hal ini terlihat pada kata dasar cantik, yang merupakan kata adjektif, masih mengekalkan golongan kata itu walaupun digandingkan dengan imbuhan se- dan ter-. Namun demikian, kata dasar itu dapat berubah golongannya menjadi kata nama apabila digandingkan dengan ke-...-an, dan menjadi kata kerja setelah digandingkan dengan memper-, diper-, men-...-kan, dan di-...-kan.

Pengimbuhan juga menghasilkan makna yang berbeza apabila digunakan imbuhan yang berbeza. Contohnya, perkataan lari menerbitkan makna yang berlainan apabila diimbuhkan menjadi larian, pelarian, berlari, dilarikan dan melarikan. Dengan hal yang sedemikian, pengimbuhan telah meluaskan makna asal sesuatu perkataan.

Sesungguhnya, pengimbuhan telah memperkaya kosa kata bahasa Melayu dan seterusnya dapat mengungkapkan makna dalam pelbagai aspek yang diperlukan. Oleh sebab itu, imbuhan harus digunakan apabila diperlukan.

Related Posts with Thumbnails