

Pundi kencing terlalu aktif
Adakah anda pernah berdepan dengan situasi keinginan yang kuat untuk kencing sehingga sukar dikawal? Bagaimana pula dengan rentetan kekerapan bangun pada waktu malam untuk pergi ke tandas atau kebocoran air kencing apabila anda ketawa, bersin, batuk atau berlari?
Kemungkinan besar kejadian-kejadian di atas jarang dikongsi dengan orang lain kerana perasaan malu. Namun, realitinya ia perlu dititikberatkan untuk mengenalpasti kemungkinan anda berisiko tinggi menghidapi masalah kawalan kencing atau OAB. Penyakit yang menjejaskan kehidupan lelaki dan wanita itu merupakan salah satu penyakit yang boleh menimpa sesiapa sahaja pada semua peringkat umur. Menurut satu kajian yang dilakukan ke atas golongan wanita dari 11 buah negara di Asia mendapati, 53 peratus wanita menghidap masalah kawalan kencing. Kebanyakan mereka berumur di antara 29 hingga 59 tahun.
Apabila seseorang menghidap masalah kawalan kencing, pundi kencing menjadi terlalu aktif dan sering teringin untuk bergegas ke tandas. Gejala itu sememangnya merimaskan individu yang menghidapnya. Bayangkan seseorang yang terpaksa kerap ke tandas ataupun resah di dalam bilik mesyuarat kerana menahan diri ke tandas.
Menurut Presiden Yayasan Kontinens Malaysia (CFM), Dr. Peter Ng, seseorang mungkin didiagnosis dengan OAB apabila perlu ke tandas lebih lapan kali sehari. Pada situasi yang lain kebocoran kencing juga berlaku jika ketawa, bersin, batuk atau berlari. "Sungguhpun masalah kawalan kencing bukan sesuatu yang boleh membawa maut, ia tetap boleh menjejaskan keadaan fizikal, psikologi dan sosial seseorang. "Individu yang menghidapi masalah ini boleh menjadi pemarah, pemalu dan murung sehingga menjejaskan perhubungan sosial, kehidupan seksual serta kesihatan emosi mereka," katanya.
Apa yang pasti hari ini, semakin ramai orang yang menghidap masalah kawalan kencing namun, malangnya tidak ramai yang tampil secara sukarela untuk mendapat rawatan selanjutnya. Sekiranya mereka tidak berfikiran terbuka untuk berkongsi masalah yang dihadapi kepada pasangan hidup ataupun berjumpa pakar perubatan, masalah yang dihidapi mungkin akan lebih teruk. Dipercayai ramai juga yang menyangka bahawa, OAB adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak memerlukan rawatan.
Pendapat itu disangkal Peter yang menegaskan masalah kawalan kencing bukan sebahagian daripada proses penuaan tetapi adalah penyakit yang boleh dirawat untuk memperbaiki gaya hidup mereka yang menghidapinya. "Ia bukan sesuatu penyakit yang perlu dimalukan, sebaliknya telah disahkan bahawa ia boleh dirawat dengan bantuan perubatan secara berkesan," katanya.
Selain mengubah gaya hidup dan diet harian, masalah itu turut dapat diurus dengan baik melalui pengambilan sejenis ubat pil yang dikenali sebagai solifenacin succinate. Pengambilan pil tersebut secara tidak langsung membantu dalam melegakan rasa terdesak dan kekerapan membuang kencing. Ia memberi kelegaan yang segera dalam tempoh seawal tiga hari dengan menjadikan pundi kencing kurang aktif dan kurang rasa terdesak untuk membuang kencing.
Friday, August 6, 2010
Dicatat oleh MawarBerduri88 di Friday, August 06, 2010 0 ulasan




9 topik sensitif lelaki
Keharmonian perhubungan dua orang insan bercinta berlandaskan banyak faktor terutamanya kefahaman yang utuh. Sikap saling bertolak-ansur menjurus kepada perhubungan yang lebih sihat dan kekal lama. Dalam hubungan pasangan suami isteri mahupun kekasih adalah penting mengenali suka duka dan pantang larang sesama sendiri supaya keintiman dapat diwujudkan secara spontan.
Jikalau golongan wanita mempunyai pantang tersendiri seperti lelaki perlu setia atau, kaum lelaki juga mempunyai topik sensitif sendiri. Sememangnya lelaki penuh dengan ego tetapi wanita tidak harus mempermainkan ego mereka sehingga menjejaskan hubungan yang indah harmoni. Belajar memaksimumkan keegoan lelaki dalam cara positif untuk lebih memenangi hatinya.
Tip-tip yang ringkas dan mudah ini mungkin membantu mengeratkan lagi perjalanan cinta anda.
* Elak menceritakan ada seorang lelaki yang secara diam meminati anda, apatah lagi jika lelaki tersebut adalah bekas kekasih anda.
* Membenci ibunya. Jikalau ada pun menyimpan perasaan kurang senang jangan terlalu vokal meluahkannya. Meskipun si dia yang membuka cerita soal keburukan ibunya. Jangan cuba menokoh tambah sebaliknya bertindak tenang. Jikalau ingin memberi komen utarakan hal-hal yang positif dan neutral sahaja.
* Hal kecurangan yang pernah dilakukan tanpa pengetahuannya. Ini akan menjejaskan kepercayaannya terhadap anda. Jangan sesekali memanjangkan cerita kecurangannya terhadap anda. Tidak mustahil dia akan mengulanginya.
* Semakin usia lelaki bertambah, minat dalam kehidupan seksual mungkin tidak sehebat seperti pada awal perkahwinan dan mungkin juga ada perubahan. Jangan cuba membandingkan hal itu dengan kehebatan pada masa lalu.
* Elak menceritakan kecurangan sahabat anda terhadap suaminya. Dia akan berfikir bahawa anda juga akan bertindak sedemikian kelak dan meragui kesetiaan anda ataupun dia akan cuba mengongkong atas sebab keselamatan hubungan bersama anda.
* Jangan membuat lelaki lemah semangat terhadap pekerjaannya. Jika satu hari dia mengeluh tentang majikannya yang bermasalah, maka sokong dan bantunya mencari jalan penyelesaian. Jangan terlalu mencampuri permasalahan tersebut. Cukup sekadar mendengar dan memberi pendapat. Lebih baik jangan bagi keputusan sebaliknya berilah dia pilihan.
* Cerai adalah perkataan yang paling harus dihindari walaupun berlaku perselisihan faham yang teruk. Berpisah atau bercerai adalah perkara yang jarang dimain-mainkan lelaki.
* Elak membanding pendapatan apatah lagi jika gaji anda lebih besar. Ini akan menyinggung perasaan si suami dan menjadi punca menimbulkan konflik dalam hubungan yang harmoni.
* Pertemuan bersama teman membuatkan anda membuka hati untuk berkongsi hal-hal persendirian. Elakkan menceritakan hal itu secara teliti kepada pasangan anda kerana lelaki tidak gemar kisah mereka dijaja.
Dicatat oleh MawarBerduri88 di Friday, August 06, 2010 0 ulasan




6/8/2010
Aku brasai mat sinu pengudah nga rita aki ku ndai sari2…alangkah sng at t ulh mda ya utk kepenudi..tp nm daya aku tllau jauh ba mnua org..tmbgn ku nda mmpu mli…cma ai mata nerutu kuyu nda ngetu..at nda ibh sebut..tllau pds asai dada ngetat smua ny..aku tlalu lemah utk mghadpi smua 2…ya Tuhan ngagai jari Nn aku nyerah smua 2,nyerah penusah at,kkuatn, semangat ambi aku ulh mghadapi smua 2,ambi ku ulh nrima takdir idp 2 nth k rencana Nn..Pia mega apai aku arap Nn merekat serta ngampun smua dosa aki ku spjg umur ya t udh..arap Nn mai ya niki ke serega..
Dicatat oleh MawarBerduri88 di Friday, August 06, 2010 0 ulasan
Sunday, July 18, 2010


Sengat tebuan rawat penyakit
Bagi individu yang ingin mencuba alternatif perubatan moden, homeopati mungkin satu pilihan yang baik. Perubatan homeopati dikatakan mampu menguatkan daya tahan tubuh untuk melawan penyakit sekali gus menyembuhkan penyakit yang dihidapi sehingga ke akar umbi.
Homeopati merupakan rawatan holistik yang memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakit yang dihidapi.
Menurut pakar homeopati, Dr. Nik Fairuz Nik Omar yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, kelebihan rawatan homeopati ialah ubat-ubatan yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik dan dadah.
Ini secara tidak langsung menjadikan rawatan itu lebih selamat dan boleh diambil oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur.
Ujarnya, ubat-ubatan yang digunakan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, garam galian, haiwan dan sel-sel terpilih.
"Antara tumbuh-tumbuhan yang digunakan ialah bawang putih, bawang merah, bunga matahari dan lada hitam.
Sotong
"Bagi garam galian pula ia terdiri daripada kapur, magnesium, sulfur dan sebagainya.
"Ubatan bersumberkan haiwan pula ialah dakwat sotong, sengat tebuan, labah-labah dan bisa ular yang mampu merawat penyakit tertentu," katanya sambil menambah, kini perubatan itu juga menggunakan kuasa solar dan laser.
Jelas Nik Fairuz, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan mengenal pasti simptom penyakit iaitu simptom fizikal dan mental.
"Simptom berbentuk fizikal membolehkan penyakit dikenal pasti secara jelas seperti lebam atau kemerah-merahan, bengkak dan mata merah.
"Untuk mental pula, rasa sakit yang mereka alami dan bagaimana mereka menanganinya," ujarnya.
Nik Fairuz memberitahu, semasa merawat pesakit, beliau akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu berdasarkan bentuk tubuh, kelakuan dan emosi mereka sebelum memilih penawar mengikut simptom yang wujud.
"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor memilih penawarnya," katanya.
Ini sekali gus merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud secara semula jadi di dalam badan manusia.
Tenaga itu menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem peredaran darah, sistem hormon serta saraf.
"Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan saraf, pinggang, kencing manis, migrain dan demam.
"Tempoh untuk pesakit pulih pula bergantung pada keadaan pesakit selain mengambil ubat mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.
Murah
Sementara itu, seorang lagi pakar homeopati, Dr. Azman Mohamad memberitahu, rawatan homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif bagi mereka yang ingin beralih daripada perubatan moden.
Beliau yang mengusahakan klinik rawatan homeopati selama lebih 10 tahun di Ipoh, Perak mendakwa rawatan tersebut bukan merawat pesakit tetapi membantu memulihkan sistem tubuh seseorang supaya dapat berfungsi dengan lebih optimum.
Ujarnya lagi, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan membuang racun-racun toksik dalam tubuh serta memulihkan fungsi organ seperti buah pinggang, hati dan jantung supaya kembali normal selepas lama terdedah kepada asap kenderaan, rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat.
Katanya, semua ini secara tidak langsung meningkatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.
"Homeopati merawat pesakit yang mengalami penyakit yang paling ringan seperti demam dan juga yang paling kronik seperti penyakit ketumbuhan dalam otak dan kanser rahim.
"Saya berpengalaman merawat penyakit batu hempedu dan buah pinggang hanya dengan pembedahan kecil tanpa menggunakan laser. Proses rawatan itu hanya mengambil masa tidak sampai 24 jam," katanya.
Katanya lagi, harga ubat-ubatan homeopati juga tidak semahal mana iaitu di antara RM30 hingga RM50 dan boleh digunakan sehingga dua bulan.
"Namun, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa membantu merawat seorang pesakit wanita yang menderita kanser serviks yang dikatakan tidak dapat disembuhkan.
"Syukur dia pulih semula selepas rawatan selama tiga bulan dan hidup sampai sekarang. Namun, semua ini adalah ketentuan Allah, bukan saya," ujarnya.
Dicatat oleh MawarBerduri88 di Sunday, July 18, 2010 0 ulasan
Tuesday, April 6, 2010
Bahana kencing tikus
pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.
Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.
Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.
Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.
170 anak
“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).
“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.
Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.
“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.
“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.
Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.
Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.
“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.
“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.
“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.
“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.
Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.
“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.
“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.
Gerudi
Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.
“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.
“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.
“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.
Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.
“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.
“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.
Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.
Pautan : http://www.kosmo.com.my
Dicatat oleh MawarBerduri88 di Tuesday, April 06, 2010 0 ulasan






