BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, October 6, 2010

Suara MPP: Bacaan ringan jatuh kredibiliti mahasiswa

Generasi  muda terutama mahasiswa digalakkan supaya mencambah minat membaca bagi menjadikan diri seorang yang berpandangan luas serta mampu memberikan pendapat.


Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM), Ahmad Wafi Sahedan berkata, minat membaca perlu dipupuk bagi membantu meningkatkan lagi kemahiran berfikir. 

Selain mampu berinteraksi dengan pelbagai masyarakat, membaca dapat mempelbagaikan maklumat sedia ada. 

Menurutnya, sikap kebanyakan mahasiswa lebih gemar membaca bahan bacaan ringan berbanding ilmiah perlu dikikis kerana dibimbangi tidak dapat membantu terutama ketika mencari peluang pekerjaan. 

“Mahasiswa perlu menyemai minat membaca terutama bahan ilmiah kerana dapat membantu dalam proses pembelajaran dan pencarian pelbagai maklumat. 

“Membaca bahan ringan tidak banyak membantu terutama dalam pencarian kerja atau berinteraksi dengan golongan lebih profesional. 


“Secara tidak langsung menjatuhkan kredibiliti dan menimbulkan pelbagai tanggapan negatif masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa.

“Justeru, tingkatkan minat membaca bagi mencambah ilmu sedia ada, selain memperbaiki jurang komunikasi. Buktikan mahasiswa mampu berdebat dan mengeluarkan pelbagai idea bernas,” katanya.

Bagi tujuan itu, Parlimen Mahasiswa diperkenalkan sebagai percubaan menjalin kerjasama erat di kalangan warga kampus.

Melaluinya, MPPUSM bekerjasama dengan pemimpin persatuan mencari mekanisme terbaik bagi membantu menyelesaikan kebajikan mahasiswa dan isu semasa.

Pada masa sama, menasihatkan mahasiswa supaya menjaga keselamatan diri terutama daripada pengaruh masyarakat luar yang bertujuan merosakkan masa depan mereka.
“Ramai pihak berpendapat, mahasiswa antara golongan mudah dipengaruhi kerana muda dan bercita-cita tinggi.

“MPPUSM menasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terburu-buru mengambil sebarang tindakan.

“Berfikirlah secara mendalam supaya masa depan tidak tergadai. Segala masalah berkongsilah dengan rakan untuk mendapat nasihat atau bantuan.

“Tindakan tanpa berfikir panjang bukan saja boleh merosakkan diri malah memalukan keluarga, justeru jangan mudah terpengaruh,” katanya.

Taska haram punca kes dera

Taska haram punca kes dera

KUALA LUMPUR – Percaya atau tidak, sebanyak 2,077 pusat asuhan kanak-kanak atau taska di negara ini didapati beroperasi secara haram. Jumlah itu mewakili 80 peratus taska yang terdapat di Malaysia.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zaitol Salleh berkata, 12 kes kematian kanak-kanak di taska haram dalam tempoh hampir dua tahun kebelakangan ini membuktikan kewujudan taska haram tidak boleh dibiarkan.
Beliau berkata, antara punca kematian mangsa ialah tercekik susu atau makanan, kurang pengawasan pengasuh, terjerut atau terjatuh dari buaian serta mengambil kanak-kanak dalam nisbah yang terlalu ramai.
“Kita sangat bimbang kerana pihak taska melatih pengasuh yang tidak terlatih malah rata-rata spesifikasi taska tidak menepati piawaian keselamatan JKM,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Jangan Terpedaya!


Gores dan menang taktik baru

JOHOR BAHRU - Sindiket gores dan menang di bandar raya ini semakin licik dengan menggunakan taktik baru iaitu kaedah imbas dan menang untuk memperdayakan mangsa.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri Johor, Che Halim Abd. Rahman berkata, sindiket tersebut turut menjadikan warga Singapura sebagai mangsanya.
"Sindiket ini menggunakan taktik terbaru, namun modus operandi hampir sama dengan gores dan menang.
"Mangsa biasanya terpedaya apabila pekerja terbabit menunjukkan hadiah utama berupa kereta mewah dan gambar-gambar pemenang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Benarkah?


Serpihan roket jatuh dari langit

BEIJING - Penduduk di sebuah kampung di mukim Suichuan, China terkejut selepas mereka melihat beberapa serpihan logam jatuh dari langit pada waktu malam, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada mulanya penduduk kampung itu menganggap berlaku gempa bumi pada tengah malam selepas mereka mendengar dua bunyi letupan yang kuat, baru-baru ini.
Namun, selepas bangun pada waktu pagi, mereka melihat beberapa serpihan logam yang dipercayai serpihan sebuah roket China yang dilancarkan ke bulan.
Serpihan logam itu jatuh dari langit setelah roket Long March 3C yang membawa kapal peninjau pesawat ke bulan, Chang'e II berlepas ke angkasa lepas dari sebuah pusat pelancar roket di wilayah Sichuan, China pada malam Jumaat lalu.
Tidak ada seorang pun dipercayai mengalami kecederaan akibat terkena serpihan itu.
Askar-askar China turut mengalihkan serpihan logam itu untuk dipindahkan ke tempat lain.

Kerajaan Prihatin



Rumah untuk miskin tegar
Bagi  kebanyakan rakyat Malaysia sebuah rumah dengan kemudahan asas merupakan tempat bernaung yang cukup untuk seluruh keluarga. Apa sahaja yang lebih daripada itu dianggap sebagai mewah.
Tetapi kepada mereka yang tinggal di luar bandar dan jauh daripada arus pembangunan, sebuah rumah tiga bilik yang sederhana bagaikan syurga.
Kepada golongan masyarakat miskin tegar, kediaman milik sendiri merupakan langkah pertama untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Kepada golongan tersebut, rumah yang disediakan oleh kerajaan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) begitu bermakna.
Mereka yang layak mendapat rumah itu adalah 30,114 rakyat Malaysia yang disenaraikan sebagai miskin tegar sementara 53,025 lagi dikenalpasti sebagai miskin.
Sejak inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diperkenalkan, Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah (KKLW) telah menyediakan 2,496 kediaman di bawah PBR. Ia adalah kediaman baru atau yang diperbaiki dengan sasaran untuk menyediakan sejumlah 16,626 kediaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Lebih selesa
Usaha tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 50,000 rumah yang ditetapkan bagi program tiga tahun di bawah program NKRA. Rumah tersebut didirikan di tanah milik negeri atau swasta yang disediakan dengan kemudahan air yang dirawat dan bekalan elektrik 24 jam.
Sebuah rumah asas PBR tiga bilik di Semenanjung dianggarkan bernilai RM33,000 sementara di Sabah dan Sarawak harganya mencecah RM43,000. Di bawah sub-KRA Infrastruktur Asas Luar Bandar, Kementerian menyediakan 109 kediaman di Sabah, 1,437 di Sarawak dan 950 di Semenanjung.
Bagi Nuraine Nasir, 37, peserta Program Bantuan Rumah Berkelompok e-Kasih Kampung Londah, Gemas di Negeri Sembilan, kediaman baru beliau lebih selesa daripada pondoknya di Rokan.
“Saya bersyukur dapat rumah ini”, kata ibu tunggal tiga anak itu. Nuraine menyara hidup dengan menjual minuman sejuk di sekitar kawasan perumahan baru itu yang terletak 10 kilometer (km) dari bandar Gemas.
Beliau adalah kumpulan pertama penduduk miskin tegar yang mendapatkan kunci rumah selepas Pejabat Daerah memaklumkan permohonannya untuk mendapatkan rumah PBR itu siap untuk diduduki.
Bulan lalu, Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal melancarkan program perumahan tersebut dengan membuka pintu 50 buah rumah yang masing-masing bernilai RM33,000 lengkap dengan bekalan air dan elektrik 24 jam.
Jiran Nuraine, Mohd. Isa Ibrahim, 47, berharap dapat mengharungi masa depan yang lebih baik bersama lima anaknya setelah memiliki kediaman sendiri.
“Rumah ni macam syurga bagi kami orang susah ni. Mana nak dapat rumah percuma kalau kerajaan tak tolong kami”, katanya.
Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok e-Kasih Kampung Londah merupakan satu lagi harapan yang disampaikan oleh kementerian kepada mereka yang dikenalpasti sebagai miskin tegar.
Kementerian juga bertanggungjawab menyediakan jalan-jalan di kawasan luar bandar di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB), bekalan air yang dirawat di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).
Ini adalah empat daripada sub-KRA. Masing-masing menyasarkan untuk membina jalan baru sepanjang 7,000 km dan menaik taraf jalan-jalan bagi penduduk di luar bandar. Selain itu, menyampaikan bekalan air bersih kepada 360,000 isirumah dan elektrik bagi 140,000 kediaman sehingga tahun 2012.
Sehingga ini, kementerian telah membina jalan sepanjang 477.8 km, yang terdiri daripada 171 km jalan di Sabah, 17.1 km di Sarawak dan 289.7 km di Semenanjung.
Jalan-jalan di luar bandar itu menghubungkan 91.4 peratus daripada mereka yang tinggal dalam lingkungan lima km dari jalan yang diturap di bawah JALB.
Sehingga ini, Kementerian telah membekalkan air bersih untuk 10,524 kediaman daripada sasaran 70,181 rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Sejumlah 5,789 kediaman di Sabah kini menikmati bekalan air di bawah BALB dengan 1,096 di Sarawak dan sejumlah 3,639 di Semenanjung.
Memeta golongan miskin
Kementerian membekalkan 2,691 rumah dengan bekalan elektrik 24 jam daripada sasarannya sebanyak 25,312 kediaman pada tahun 2010. Daripada jumlah itu, 1,476 adalah di Sabah, 1,090 di Sarawak dan 125 di Semenanjung.
Projek-projek NKRA yang dilaksanakan oleh Kementerian adalah menerusi kerjasama daripada Bahagian Infrastruktur, Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan unit NKRA.
Bahagian Kesejahteraan Rakyat baru-baru ini melaksanakan langkah memeta taburan golongan miskin tegar.
Sejumlah 30,114 rakyat Malaysia dikategorikan sebagai miskin tegar dan 53,025 lagi sebagai miskin sehingga Jun lepas.
Sabah mendahului senarai dengan bilangan miskin tegar paling tinggi iaitu sebanyak 14,184 orang dan 13,669 lagi dikategori sebagai miskin.
Sarawak pula di tempat kedua dengan mencatatkan 9,993 orang miskin tegar dan 13,993 orang miskin. Di Semenanjung, Kelantan mencatat bilangan miskin tegar tertinggi iaitu 2,357 orang dan 6,285 orang miskin.
Melaka pula adalah negeri yang mencatatkan bilangan orang miskin tegar terendah iaitu 25 orang, manakala 259 orang miskin sementara Labuan tidak mempunyai orang miskin tegar tetapi seramai 69 orang dikategorikan sebagai miskin.

Related Posts with Thumbnails