BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, August 6, 2010



Pundi kencing terlalu aktif

Adakah anda pernah berdepan dengan situasi keinginan yang kuat untuk kencing sehingga sukar dikawal? Bagaimana pula dengan rentetan kekerapan bangun pada waktu malam untuk pergi ke tandas atau kebocoran air kencing apabila anda ketawa, bersin, batuk atau berlari?
Kemungkinan besar kejadian-kejadian di atas jarang dikongsi dengan orang lain kerana perasaan malu. Namun, realitinya ia perlu dititikberatkan untuk mengenalpasti kemungkinan anda berisiko tinggi menghidapi masalah kawalan kencing atau OAB. Penyakit yang menjejaskan kehidupan lelaki dan wanita itu merupakan salah satu penyakit yang boleh menimpa sesiapa sahaja pada semua peringkat umur. Menurut satu kajian yang dilakukan ke atas golongan wanita dari 11 buah negara di Asia mendapati, 53 peratus wanita menghidap masalah kawalan kencing. Kebanyakan mereka berumur di antara 29 hingga 59 tahun.
Apabila seseorang menghidap masalah kawalan kencing, pundi kencing menjadi terlalu aktif dan sering teringin untuk bergegas ke tandas. Gejala itu sememangnya merimaskan individu yang menghidapnya. Bayangkan seseorang yang terpaksa kerap ke tandas ataupun resah di dalam bilik mesyuarat kerana menahan diri ke tandas.
Menurut Presiden Yayasan Kontinens Malaysia (CFM), Dr. Peter Ng, seseorang mungkin didiagnosis dengan OAB apabila perlu ke tandas lebih lapan kali sehari. Pada situasi yang lain kebocoran kencing juga berlaku jika ketawa, bersin, batuk atau berlari. "Sungguhpun masalah kawalan kencing bukan sesuatu yang boleh membawa maut, ia tetap boleh menjejaskan keadaan fizikal, psikologi dan sosial seseorang. "Individu yang menghidapi masalah ini boleh menjadi pemarah, pemalu dan murung sehingga menjejaskan perhubungan sosial, kehidupan seksual serta kesihatan emosi mereka," katanya.
Apa yang pasti hari ini, semakin ramai orang yang menghidap masalah kawalan kencing namun, malangnya tidak ramai yang tampil secara sukarela untuk mendapat rawatan selanjutnya. Sekiranya mereka tidak berfikiran terbuka untuk berkongsi masalah yang dihadapi kepada pasangan hidup ataupun berjumpa pakar perubatan, masalah yang dihidapi mungkin akan lebih teruk. Dipercayai ramai juga yang menyangka bahawa, OAB adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak memerlukan rawatan.
Pendapat itu disangkal Peter yang menegaskan masalah kawalan kencing bukan sebahagian daripada proses penuaan tetapi adalah penyakit yang boleh dirawat untuk memperbaiki gaya hidup mereka yang menghidapinya. "Ia bukan sesuatu penyakit yang perlu dimalukan, sebaliknya telah disahkan bahawa ia boleh dirawat dengan bantuan perubatan secara berkesan," katanya.
Selain mengubah gaya hidup dan diet harian, masalah itu turut dapat diurus dengan baik melalui pengambilan sejenis ubat pil yang dikenali sebagai solifenacin succinate. Pengambilan pil tersebut secara tidak langsung membantu dalam melegakan rasa terdesak dan kekerapan membuang kencing. Ia memberi kelegaan yang segera dalam tempoh seawal tiga hari dengan menjadikan pundi kencing kurang aktif dan kurang rasa terdesak untuk membuang kencing.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails